Siakap Keli
maguire pemain terbaik perlawanan
Gambar: FB Manchester United

MU VS Sheffield: Harry Maguire Dinobat Pemain Terbaik Perlawanan

MU VS Sheffield: Harry Maguire Dinobat Pemain Terbaik Perlawanan

PERTAHANAN tengah Manchester United, Harry Maguire dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan selepas United mencatat kemenangan 2-1 ke atas Sheffield United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu kesembilan awal pagi tadi.

Merujuk Talk Sport, Maguire melakukan 104 kali sentuhan, memenangi 100 peratus tackle, membuat 76 hantaran, 82 peratus ketepatan hantaran, mendominasi final third 14 kali serta possession lapan kali.

Dalam masa sama pertahanan skuad antarabangsa England itu juga turut berjaya memenangi lima (5) daripada tujuh (7) perebutan udara, tiga (3) pengosongan kawasan (clearance) dan tiga (3) kali halangan.

Menariknya, rekod sejak Oktober 2022 menunjukkan United telah memenangi 15 daripada 16 perlawanan hasil keterlibatan Maguire dalam kesebelasan utama skuad.

Dalam masa sama, dalam kesemua 16 perlawanan bersama Maguire, United hanya mencatatkan kekalahan sebanyak sekali sahaja berbanding 13 kali jika dia tidak diturunkan.

Malah ratio peratusan kemenangan Maguire bermain adalah sebanyak 94 peratus, berbanding hanya 54 peratus sebaliknya.

Imbas kembali pertemuan di Bramall Lane awal pagi tadi, United berjaya mendahului perlawanan hasil sepakan mudah pemain tengah Scott McTominay seawal minit ke-28 di depan gawang Sheffield.

Walau bagaimanapun kegembiraan Red Devils tidak kekal lama apabila The Blades berjaya menyamakan kedudukan 1-1 hasil sepakan penalti oleh Oli McBurnie enam minit kemudian.

Penalti itu diberikan pengadil perlawanan gara-gara bola yang dihantar ke arah gawang Onana oleh pemain Sheffield terkena tangan McTominay.

Sejurus kemudian, babak separuh masa kedua perlawanan diteruskan dengan pertukaran beberapa pemain United iaitu Rasmus Hojlund-Anthony Martial; Antony-Alejandro Garnacho; dan McTominay-Christian Eriksen pada minit ke-60.

Bagaimanapun United kembali di hadapan apabila pemain pertahanan Diogo Dalot berjaya merobek gawang Sheffield dengan rembatan tepat dari luar kotak penalti hasil hantaran Lindelof pada minit ke-77.

Keputusan kekal 2-1 sehingga ke wisel penamat, sekali gus melayakkan skuad Erik ten Hag berjaya membawa pulang tiga mata berharga dengan kedudukan terkini di tangga kelapan carta EPL.

Dalam perlawanan lain, gergasi London, Arsenal nampaknya ‘terdiam kaku’ apabila sekadar mampu mencatat seri 2-2 dengan seteru ‘setempatnya’, Chelsea dalam pertemuan awal pagi tadi.

‘Saudara’ United, Manchester City pula kembali mendapat rentak kemenangan apabila berjaya menundukkan Brighton & Hove Albion 2-1 selepas malu diaibkan 0-1 oleh Arsenal minggu lepas.

Sumber: Talk Sport, Buletin Manchester United

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'