Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ahli Astronomi telah berjaya mengesan isyarat radio sejauh lapan bilion tahun cahaya dari bumi, lapor UNILAD.
Penemuan itu merupakan salah satu isyarat radio paling jauh dan berfrekuensi tinggi yang pernah direkodkan oleh mereka.
Menurut laporan AFP, gelombang tersebut berjaya dikesan menerusi teleskop radio di Australia.
Difahamkan, gelombang Isyarat Radio Pantas (FRB) berkenaan dikenali sebagai FRB 20220610A. Isyarat gelombang yang mempunyai kecepatan kurang satu milisaat itu bagaimanapun tidak diketahui asal-usulnya.
Susulan itu, timbul kekeliruan dalam kalangan pakar.

Ahli astronomi di Universiti Macquarie di Australia dan pengarang bersama kajian dalam jurnal Sains, Dr. Stuart Ryder berkata pelbagai usaha dilakukan untuk mengetahui asal usul isyarat itu.
“Dengan menggunakan Australian Square Kilometre Array Pathfinder (ASKAP), kami dapat menentukan dengan tepat dari mana gelombang tersebut berasal.
“Kemudian kami akan menggunakan sebuah teleskop gergasi di Balai Cerap Selatan Eropah di Chile bagi mencari asal usul sumbernya.
“Kami mendapati gelombang tersebut lebih jauh (lebih tua) berbanding mana-mana sumber FRB yang pernah ditemui sebelum ini. Kami juga berpendapat bahawa ia berkemungkinan berasal dari gabungan kumpulan kecil galaksi,” katanya.
Menerusi dapatan kajian yang dilakukan oleh pasukan penyelidik terhadap proses penggabungan sekumpulan galaksi, ia selari dengan teori semasa terhadap gelombang radio pantas itu.
Hasil kajian berpendapat bahawa gelombang isyarat itu berkemungkinan datang daripada magnetar, sejenis bintang neutron dengan medan magnet satu trilion kali ganda kuat daripada Matahari.
“Jika kita mengira jumlah jirim normal yang terdapat di Alam Semesta, didapati bahawa lebih separuh daripadanya yang sepatutnya wujud hari ini hilang.
“Kami berpendapat bahawa bahan yang hilang itu bersembunyi di ruang antara galaksi, tetapi ia mungkin terlalu panas sehingga tidak dapat dilihat menggunakan teknik biasa.
“Pancaran radio pantas boleh merasai bahan ion ini. Walaupun di ruang angkasa yang kosong, semua elektron dapat ‘dilihat’ dan membolehkan kita mengukur berapa banyak bahan di antara galaksi,” kata rakan pengarang kajian dan profesor di Universiti Teknologi Swinburne di Australia, Ryan Shannon.
Tambahnya, walaupun masih belum menemui jawapan di sebalik gelombang tenaga ini, namun FRB ini merupakan fenomena biasa di cakerawala dan berlaku dengan sangat pantas.
“Kita akan menggunakan jirim antara galaksi ini dan lebih memahami struktur yang terdapat di Alam Semesta,” katanya.