Siakap Keli
graduan uum ibu kanser
Kredit: Bernama

Graduan UUM Sebak, Ibu Hidap Kanser Tahap 3 & Tak Sempat Tengok Konvo, “Hidup Seolah Terhenti”

Graduan UUM Sebak, Ibu Hidap Kanser Tahap 3 & Tak Sempat Tengok Konvo, “Hidup Seolah Terhenti”

Majlis konvokesyen merupakan antara hari penting yang ditunggu-tunggu dalam kalangan graduan.

Hal ini kerana, majlis ini bertujuan untuk memberikan pengiktirafan kepada graduan selepas berhempas pulas menghabiskan pengajian di institusi pengajian tinggi.

Sudah semestinya, sebagai graduan kita mahu orang-orang yang sentiasa menjadi tulang belakang bagi setiap pencapaian kita ada bersama pada hari tersebut.

Namun, setiap pertemuan manusia sentiasa akan diakhiri dengan perpisahan. Ia sememangnya telah pun tertulis begitu dalam lembaran takdir kehidupan kita.

Kenyataan ini membuatkan kita semua menyedari bahawa kita tidak mungkin ada selamanya bersama dengan orang yang kita sayang dan menjadi saksi jatuh bangun mereka.

Itulah tempoh duka dan sukar yang perlu dilalui sebahagian penuntut IPT yang terpaksa menerima hakikat orang tersayang tidak dapat menemani mereka di hari graduasi.

Graduan UUM imbau kenangan bersama ibu yang disahkan menghidapi kanser tahap tiga

Berdasarkan hantaran di Facebook rasmi Universiti Utara Malaysia (UUM), seorang graduan telah berkongsi kisah pilu yang terpaksa dilalui.

Menurut hantaran tersebut, ibu graduan tersebut disahkan menghidapi kanser dan ‘pergi’ tanpa sempat melihatnya mengenggam ijazah dalam Konvokesyen ke-36.

Jelasnya, perjalanan untuk menamatkan pengajian pascasiswazah agak panjang. Dalam tempoh getir itu, ibunya tidak pernah berhenti memberi semangat kepadanya untuk meneruskan pengajian sehingga saat akhir.

“Perjalanan saya sebagai seorang pelajar sarjana agak panjang. Menamatkan pengajian Sarjana Muda di UUM secara separuh masa selama 5 tahun dan juga bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah universiti tempatan di Kelantan.

“Bagi saya, pada masa itu kelulusan akademik sudah mencukupi untuk saya berjaya dalam kerjaya saya. Namun, orang yang paling rapat dengan saya – mama saya.”

Katanya lagi, ibu pernah berpesan bahawa ilmu itu ibarat sebutir mutiara. Ia seharusnya sentiasa digilap supaya dapat memberi cahaya dan menyuluh langkah untuk berjaya dunia serta akhirat.

Bukan itu sahaja, ibunya turut menyambung pengajian di peringkat PhD untuk menaikkan semangat anaknya untuk terus menimba ilmu.

Difahamkan, ibunya telah menyambung pengajian selepas berjaya menamat pengajian MSc (Management) di UUM Kuala Lumpur pada 2019.

“Mama saya, RARS merupakan bekas kakitangan (pensyarah) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan UTM Space dalam bidang Teknologi Maklumat.”

Ibu merupakan seorang wanita yang sangat kuat dan sayangkan ilmu

Dalam hantaran tersebut, graduan tersebut memaklum orang tuanya telah berpisah dan mereka empat beradik dibesarkan oleh ibunya sejak 2014.

“Selepas berpisah dengan ayah saya pada tahun 2014, mama lah yang bertungkus lumus bekerja dan membesarkan kami empat beradik sehingga berjaya seperti hari ini.

“Walaupun penat bekerja, mama menunjukkan semangat cinta ilmu dan menyambung pengajian di peringkat sarjana dan PhD.”

Kesungguhan dan kegigihan mama sangat memberi inspirasi kepada graduan

Graduan telah mengimbau lipatan sejarah bersama ibunya yang sentiasa bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu.

Dia masih ingat bagaimana ibunya bersekang mata menyiapkan kertas cadangan PhD beliau yang bertajuk “The Impact of Strategic Information System towards Service Innovation: From the Perspective of Higher Education” di bawah penyeliaan Prof Dr Norlena Hasnan.

Apabila melihat keazaman dan semangat ibunya, graduan tersebut turut menumpang semangat tersebut untuk mendaftar di bawah program MSc Finance.

“Impian mama, kami berdua untuk dapat naik ke pentas konvokesyen bersama untuk mengenggam ijazah Sarjana dan PhD.”

Lumrah manusia, hanya mampu merancang tetapi Allah yang menentukan…

Secantik dan sebaik mana rancangan yang diaturkan manusia, tidak semua akan berjalan seperti apa yang tertulis dalam ketentuan Ilahi.

Graduan UUM itu menjelaskan bahawa cita-cita ibunya untuk naik ke pentas konvokesyen bersama-sama itu tidak kesampaian apabila dia ‘pergi’ dahulu.

“Ketika saya berada di semester keempat. Hidup saya seolah-olah terhenti seketika apabila mama saya disahkan menghidap kanser tahap 3. Mama adalah tulang belakang saya, sumber kekuatan dan inspirasi yang sentiasa menyokong perjalanan pengajian saya.

“Mengharungi ujian sakit bukan mudah bagi mama dan saya. Kami banyak menghabiskan masa bersama, meneruskan perjuangan dalam pengajian dan juga kehidupan. Keluarga kami benar-benar diuji.”

Bagi graduan itu, tanggal 17 Jun 2022 merupakan satu tarikh yang tidak akan pernah luput dalam ingatannya. Tarikh tersebut menjadi ‘garisan pemisah’ antara dirinya dan ibunya untuk terus bersama di dunia.

“Lepas sudah segala kesakitan, penat dan jerih payah mama di dunia. Mama pergi buat selama lama nya kerana dijangkiti COVID-19.”

Walaupun tiada di depan mata, ‘keazaman’ ibunya masih kekal hidup dalam diri

Sejujurnya, pemergian insan yang tersayang sudah semestinya akan meninggalkan perasaan hiba yang tidak terperi pada dasar hati.

Namun, nilai positif dan kenangan bersama mereka akan membantu kita yang masih hidup, untuk menjadi manusia yang lebih baik pada hari seterusnya.

“Saya amat terkesan dengan pemergian mama tetapi saya tahu, hidup perlu diteruskan. Saya pegang kukuh kata-kata semangat mama agar saya mampu menggenggam segulung ijazah yang pastinya membuatkan mama tersenyum bangga.”

Graduan berkenaan berjaya menamatkan pengajian dan menerima skrollnya pada 2023. Katanya, dia begitu berharap hari bahagia itu dapat diserikan dengan kehadiran seorang ibu, namun takdir sudah tertulis sebaliknya.

“Alangkah manisnya jika mama masih ada, tahun ini kami akan sama sama bergraduasi. Namun, saya redha kerana saya tahu Allah Maha Penyayang dan saya sentiasa mendoakan mama diampuni, dirahmati dan ditempatkan oleh Allah bersama hamba-hambaNya yang disayangi.

“Mama adalah kasih sayang kami, tempat kami mengadu suka dan duka, pelita hati kami. Mama, saya akan bersama mama di sana juga nanti.

“Mama akan tetap hidup di hati saya, dan pengorbanan dan kasih sayang mama sentiasa bersemarak di jiwa saya. Terima kasih mama, dan ijazah ini adalah istimewanya buat Mama.”

“Semoga Allah mengampunkan segala dosa mama dan ditempatkan bersama para solihin..Aamiin!” kata graduan pada akhir luahannya.

BACA: KPM Larang Unsur Ekstremisme, Keganasan Dalam Program Minggu Solidariti Palestin

Sumber: Universiti Utara Malaysia (Official FB) via Facebook

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.