Tak Mahu Bebankan Pelanggan, Peniaga Jual Sate 40 Sen Secucuk
JITRA — Seorang peniaga masih lagi menjual satenya dengan harga 40 sen secucuk di Jalan Kampung Padang walaupun peniaga lain menjual dengan harga 80 sen hingga RM1 secucuk untuk menampung kos operasi, lapor Sinar.
Muhammad Khairul Fikri Abdul Kadirl, 30, berkata dia menawarkan harga itu di gerai Sate Batas Ban miliknya sejak enam bulan yang lalu.
Dia yang lebih gemar digelar Khairul itu memberitahu bahawa sate ayam yang sudah siap dibakar dijual pada harga 40 sen secucuk. Selain itu, harga untuk sate daging pula ialah 70 sen secucuk.
Beramal Sambil Berniaga
“Saya mengambil pendekatan menjual sate pada harga yang murah kerana ingin beramal sambil berniaga untuk memberi peluang kepada semua golongan terutamanya yang berpendapatan rendah menikmati sate.
“Walaupun sedikit namun keuntungan yang diperoleh sekurang-kurangnya memberi rezeki dan menampung perbelanjaan seharian saya,” katanya.
Menurutnya lagi, dia menjual sate dengan harga yang murah kerana tidak mahu membebankan pelanggan memandangkan ada yang kurang berkemampuan dan mempunyai anak yang ramai.
Dalam masa yang sama, dia bersyukur kerana sate itu mendapat sambutan dan boleh menghasilkan 500 hingga 600 cucuk sehari.
“Sebelum ini, saya menjual sate ayam dengan harga 30 sen secucuk di gerai lama di lokasi lain namun terpaksa menaikkan kepada 40 sen secucuk disebabkan kenaikan kos.
“Alhamdulillah, saya bersyukur gerai sate dibuka bermula jam 4 petang hingga 9 malam hampir setiap hari mendapat sambutan masyarakat setempat,” kata Khairul.
Selain Khairul, terdapat seorang lagi peniaga yang menjual sate dengan harga yang murah.
Sate Murah Dapat Sambutan
Muhammad Zaidi Baharom, 42, dari gerai Port Sate Bakaq di lokasi berdekatan di Jalan Kampung Padang turut menjual sate ayamnya dengan harga 40 sen secucuk dan sate daging 70 sen secucuk.
Dia berkata, dia menjual sate pada harga yang murah agar dapat berkongsi rezeki dengan pelanggan dan sekali gus meneruskan kelangsungan hidup.
“Alhamdulillah, sambutan baik sehingga saya mampu menjual sehingga 1,000 cucuk sate ayam sehari,” kata Zaidi yang dibantu oleh empat pekerja.
Di samping itu, sate daging pula dijual sebanyak 250 cucuk sehari, tetapi masih rendah berbanding di kawasan lain.
“Sebelum ini, saya membuka sebuah kedai makan sebelum terpaksa menutup premis ketika pandemik Covid-19 lalu. Saya jual sate sejak tiga tahun lepas di lokasi lain,” tambahnya.
Muhammad Zaidi yang merupakan bapa kepada lima orang anak itu berkata, pelanggan boleh menempah sate dengan minimum 2,000 cucuk untuk majlis dan kenduri, selain mendapatkan sate di gerainya.
Sumber: Sinar Harian
BACA JUGA: Kisah Eerah Peniaga Burger ‘Istimewa’: Tak Bagi Sesiapa Buat Sos Cili, Hanya Guna Resipi Arwah Ibu