Siakap Keli
usia bulan 40 juta tahun
Gambar: AFP

Kajian Saintis Dapati Usia Bulan Mungkin 40 Juta Tahun Lebih Tua Daripada Yang Disangka

Kajian Saintis Dapati Usia Bulan Mungkin 40 Juta Tahun Lebih Tua Daripada Yang Disangka

Analisis terkini terhadap sampel yang dibawa pulang dari Bulan mencadangkan bahawa usia Bulan mungkin lebih tua daripada yang disangka.

Menurut Space.com, usia terkini Bulan dianggarkan 40 juta tahun lebih tua berbanding anggaran lama yang dibuat sebelum ini.

Berdasarkan analisis tersebut, Bulan kini dianggarkan berusia 4.46 bilion tahun, berbanding anggaran lama iaitu 4.42 bilion tahun.

Usia Bulan 40 juta tahun lebih tua daripada yang dijangka

Kajian dilakukan terhadap mineral zircon yang terkandung dalam sampel Bulan yang dibawa pulang ke Bumi oleh angkawan misi Apollo 17 pada 1972. Misi berkenaan merupakan misi terakhir Apollo.

Saintis percaya zirkon adalah pepejal pertama yang menjadi kristal semasa pembentukan Bulan. Justeru, kajian ke atas mineral tersebut dalam membantu saintis menentukan usia Bulan dengan lebih tepat.

Kumpulan saintis yang terlibat dalam analisis tersebut berkata, mengetahui usia Bulan dengan lebih tepat dapat membantu manusia memahami sejarah dan evolusi Bulan, termasuk Bumi.

Tanpa Bulan, kehidupan di Bumi mungkin jauh berbeza daripada apa yang kita lihat pada hari ini

“Tanpa Bulan, kehidupan di Bumi mungkin berbeza. Bulan adalah sebahagian daripada sistem semula jadi kita dan kita perlu memahami Bulan dengan lebih tepat.

“Kajian kami hanya membekalkan sedikit bahagian kepada keseluruhan gambaran” kata Philipp Heck.

Beliau merupakan seorang profesor di Universiti Chicago yang terlibat dalam menerbitkan dapatan kajian tersebut.

Menurut teori terdahulu, yang dikenali sebagai giant-impact hypothesis mencadangkan Bulan terbentuk daripada ejecta yang terhasil akibat pelanggaran sebuah objek angkasa bersaiz Marikh dengan Bumi yang masih muda.

Bahan-bahan yang terlontar keluar akibat letupan daripada pelanggaran tersebut, yang terikat dengan graviti sendiri, dipercayai membentuk Bulan yang dilihat pada hari ini.

Bagaimanapun, saintis sehingga ke hari ini tidak tahu secara tepat bila pelanggaran ini berlaku dan berapa lama Bulan mengambil masa untuk terbentuk.

BACA: Dr. Zakir Naik Sumbang Semua Duit Menang Saman Fitnah, RM1.52 Juta Kepada Palestin

Sumber: Space.com

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.