Siakap Keli
Gambar via Sinar Harian

Dapat Anugerah Diraja UniSZA, Sakit Jantung Bukan Penghalang

Dapat Anugerah Diraja UniSZA, Sakit Jantung Bukan Penghalang

Nur Aufa Johan, 24, yang mengalami sakit jantung, tidak menjadikannya satu penghalang untuk meraih Anugerah Pelajaran Diraja Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), ketika majlis konvokesyen pada Ahad lalu.

Nur Aufa sebaliknya menganggap penyakit yang dialaminya itu sebagai satu motivasi untuk dirinya mencapai kecemerlangan sekali gus berjaya menggapai cita-cita yang diidamkan.

Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris Dengan Komunikasi di UniSZA dan kini bertugas di Komunikasi Korporat Petronas sebagai seorang pegawai strategik.

“Saya diserang penyakit jantung bengkak dan hipertiroidisme ketika berusia 15 tahun. Jadi, saya terpaksa berulang-alik ke hospital untuk rawatan.

“Ia menyebabkan keputusan Sijil Pelajar Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) saya tidak memuaskan,” kata Nur Aufa.

Menurutnya lagi, “Namun, saya kembali bangkit dan berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran ketika melanjutkan pengajian di universiti.

“Walaupun ibu bapa tidak mengharapkan apa-apa balasan kerana memahami kesulitan yang saya hadapi, saya tetap berazam untuk berusaha lebih gigih.

“Saya ingin menghadiahkan kejayaan untuk mereka suatu hari nanti. Terbukti hari ini saya dapat membahagiakan ibu bapa saya dengan anugerah ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian apabila ditemui pemberita Sinar Harian selepas majlis konvokesyen di UniSZA pada hari Ahad semalam.

BACA JUGA: Penampakan Tarantula Menjadi Punca Kemalangan

Difahamkan, ‘berbekalkan’ catatan nilai Purata Nilaian Gred Keseluruhan (CGPA) 3.91, Nur Aufa layak menerima hadiah trofi dan wang tunai sebanyak RM7,500.

Ketika majlis itu, Canselor UniSZA iaitu Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah telah menyampaikan hadiah tersebut kepada Nur Aufa.

Menurut Nur Aufa yang merupakan anak kelima daripada enam beradik itu, beliau sedar akan tekanan dan kesulitan yang akan dihadapinya.

Tetapi, beliau tetap merancang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana suatu hari nanti.

“Insya-Allah, dengan sokongan kuat daripada ibu bapa dan keluarga, saya tetap akan meneruskan cita-cita untuk melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi.

“Tiada yang mustahil dengan keazaman bersungguh-sungguh walaupun kita menghadapi pelbagai cabaran,” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian

 

Nurul Alya

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.