Siakap Keli
ahli parlimen gua musang
Gambar: Facebook Azizi Abu Naim

Ahli Parlimen Gua Musang Isytihar Beri Sokongan Penuh Kepada Kepimpinan Anwar

Ahli Parlimen Gua Musang Isytihar Beri Sokongan Penuh Kepada Kepimpinan Anwar

Ahli Parlimen Gua Musang, Datuk Mohd Azizi Abu Naim mengisytiharkan bahawa beliau memberi sokongan sepenuhnya kepada kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula hari ini.

Wakil rakyat dari parti Perikatan Nasional (PN) itu memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Azizi berkata keputusan yang diambil itu adalah bertujuan untuk memastikan kebajikan penduduk di Parlimennya terbela dan terus mendapat pelbagai manfaat.

Gambar: Facebook Azizi Abu Naim

Ia termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur sebagaimana yang dimohonnya untuk dilaksanakan di Gua Musang sepanjang tempoh penggal perkhidmatan.

“Setelah meneliti dan mendengar Pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dengan maklumat utama untuk memangkin pemulihan ekonomi di samping meringankan beban kewangan untuk rakyat Malaysia.

“Saya selaku Ahli Parlimen Gua Musang dengan ini mengisytiharkan untuk memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia bermula pada tarikh kenyataan media ini dikeluarkan.

“Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada inisiatif-inisiatif Kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat negara ini sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya dalam kenyataan tersebut.

BACA: Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Isytihar Sokong Perdana Menteri

Tambah Ahli Parlimen Gua Musang itu, beliau sejujurnya tidak berniat untuk keluar atau mengkhianati Parti Bersatu, tetapi demi memastikan kawasannya bergerak seiring dengan pemerintahan persekutuan.

Sehubungan itu, menurutnya, tindakan tersebut adalah wajar buat dirinya untuk bersama di dalam saf kepimpinan Putrajaya yang diketuai Anwar.

“Buat masyarakat Gua Musang yang sangat saya kasihi, marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah SWT sentiasa memberkati bumi bertuah Gua Musang dan kita semua mendapat limpahan pembangunan sebagaimana kita harapkan,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman telah digantung keahliannya dalam parti Bersatu selama enam tahun.

Ia susulan pengumuman beliau yang turut menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri pada 30 Oktober lalu.

Sumber: Facebook Azizi Abu Naim

BACA JUGA: Siap Boleh “Training” Sekali, Buat Macam Ni Kalau Nak Dapat Percutian EPL Di England

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?