Kunjungan Hormat TYT Martin Heydon T.D., Ke Atas Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan
KUALA LUMPUR, 7 NOVEMBER 2023 – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Mohamad bin Sabu telah menerima kunjungan hormat daripada TYT Martin Heydon T.D., Minister of State, Kementerian Pertanian dan Marin Ireland pada 6 November 2023 di Lembaga Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur.
Ini merupakan pertemuan pertama antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia dengan Minister of State, Kementerian Pertanian dan Marin Ireland yang bertujuan bagi membincangkan cadangan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian dan industri makanan antara kedua negara.
Ireland menyatakan kesediaan untuk memperkukuhkan lagi perdagangan dua hala dalam bidang pertanian terutamanya berkaitan pengeksportan daging dan produk daging itik ke Malaysia. Pada tahun 2022, jumlah dagangan antara Malaysia dan Ireland merekodkan sebanyak RM419.35 juta berbanding RM 425.15 juta pada tahun 2021. Walau bagaimanapun, terdapat trend peningkatan bagi tahun 2023 di mana jumlah nilai dagangan bagi tempoh Januari hingga Julai telah mencatatkan rekod sebanyak RM429.45 juta.
Kedua-dua negara turut berhasrat meneruskan kerjasama erat dalam bidang penyelidikan dan pembangunan pertanian bagi mencapai sasaran keterjaminan makanan serta meningkatkan perdagangan pertanian dua hala termasuk produk perikanan seperti tiram dan udang karang.
Mohamad turut menjemput Ireland menyertai ekspo Malaysia Agriculture, Horticulture & Agrotourism (MAHA 2024) yang akan diadakan pada tahun hadapan bagi mempromosikan produk-produk pertanian dan agromakanan yang mana ianya berpotensi menambah pelaburan dalam bidang pertanian di Malaysia.
Pertemuan ini dihadiri wakil daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Pegawai-Pegawai Kanan KPKM.