Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Syed Saddiq Kosongkan Jawatan Presiden MUDA

Nur Syahirah Zainoor Hisham
Syed Saddiq Kosongkan Jawatan Presiden MUDA
Kredit: Facebook

Syed Saddiq Kosongkan Jawatan Presiden MUDA

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah mengosongkan jawatan yang dipegangnya dalam parti tersebut.

Beliau telah mengumumkan perkara berkenaan menerusi satu sesi sidang media khas yang disiarkan menerusi halaman Facebook rasmi MUDA, hari ini.

Jawatan tertinggi MUDA itu kini dipangku oleh Timbalan Presiden, Amira Aisya Abd Aziz.

“Sesiapa yang menjawat jawatan Presiden perlu putih daripada putih kerana beban tanggungjawab itu agak luar biasa.

“Tidak ada sesiapa pun termasuk diri saya yang lebih besar daripada parti yang diasaskan oleh kami semua dan rakyat Malaysia dengan dokongannya.”

Meninggalkan tampuk kepimpinan parti buat sementara waktu selepas disabitkan bersalah dalam keputusan mahkamah

Dalam sidang itu juga, Syed Saddiq berkata keputusan berkenaan diambil adalah untuk memastikan ketelusan dalam kepimpinan parti tersebut.

“Pada hari ini, saya tidak layak untuk memegang jawatan tersebut. Saya tidak tergolong dalam kumpulan tersebut.”

Tambahnya, keputusan untuk beliau mengosongkan jawatan berkenaan diputuskan selepas perbincangan bersama dibuat dengan jawatankuasa parti.

Katanya lagi, ini juga bagi memberikan peluang dan ruang untuk beliau membersihkan namanya terlebih dahulu menerusi proses mahkamah.

“Sebaik sahaja mesyuarat berakhir, saya tidak akan melibatkan diri dan dilibatkan lagi dalam mana-mana keputusan parti MUDA dan berkait rapat dengan Parti MUDA.”

Sungguhpun begitu, Ahli Parlimen Muar itu kekal memberikan dokongan kepada parti tersebut sebagai ahli biasa dan bekerjasama dengan ahli-ahli lain.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta ke atas Syed Saddiq selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah, dua tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan salah guna harta manakala bagi dua kesalahan pengubahan wang haram masing-masing dipenjara dua tahun dan denda RM5 juta atau penjara empat tahun jika gagal membayar denda.

BACA: Ramai Tertanya-tanya, Selepas Generasi X, Y & Z, Generasi Apa Pula? Ini Jawapannya

Sumber: MUDA via Facebook