Siakap Keli
Kenderaan guna lebuh raya utama
Kredit BERNAMA

Deepavali: Kenderaan Guna Lebuh Raya Utama Dijangka Meningkat 2.3 Juta – LLM

Deepavali: Kenderaan Guna Lebuh Raya Utama Dijangka Meningkat 2.3 Juta – LLM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) — Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT2 meningkat sehingga 2.3 juta sempena cuti perayaan Deepavali.

LLM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua syarikat konsesi telah diarah melakukan persediaan rapi agar perjalanan pengguna lebuh raya selamat dan lancar sepanjang tempoh berkenaan.

Ia termasuk mengarahkan syarikat konsesi menghentikan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan melibatkan penutupan lorong bermula semalam hingga Selasa ini.

“Selain itu, pengoperasian lebuh raya dan semua kemudahan berfungsi dengan baik terutamanya di kawasan R&R (rehat dan rawat), hentian sebelah serta sistem kutipan tol dengan penambahan lorong sementara.

“Konsesi juga diarahkan menambah kemudahan tempat letak kereta dan tandas mudah alih di beberapa R&R, meningkatkan bilangan petugas, memastikan kecukupan bekalan air serta minyak di stesen-stesen minyak selain mengaktifkan lorong pintar di beberapa lokasi,” menurut kenyataan itu.

BACA: Lain Dari Lain, Chef Ni Buat Drama Pendek Untuk Kongsi Resipi, Jalan Cerita ‘Plot Twist’ Habis

LLM memaklumkan walaupun inisiatif tol percuma dilaksanakan hari ini dan esok, pengguna masih perlu memastikan kad Touch ‘n Go atau SmartTAG disentuh di plaza tol, manakala pengguna RFID perlu masuk dan keluar dari lebuh raya menggunakan lorong RFID.

LLM turut meminta pengguna memastikan baki kad Touch ‘n Go atau sumber bayaran lain mencukupi selepas tamat tempoh tol percuma, supaya tidak menyumbang kepada kesesakan di plaza tol selain menggunakan kaedah bayaran sama untuk masuk dan keluar.

Sumber: BERNAMA

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka