Pernah Viral Di Luar Negara, Cat Jalan “Glow In The Dark” Kini Ada Di Semenyih
Cat jalan yang bercahaya di dalam gelap atau “glow in the dark” kini digunakan di persimpangan Jalan Sg Lalang B19 dan Jalan Sg Tekali B16 di Semenyih.
Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Jabatan Kerja Raya Hulu Langat dalam satu hantaran di Facebook sebelum ini.
“Cat jalan yang “bernyala dalam gelap” ini adalah cubaan projek rintis kami dalam membawa inovasi ke dalam kejuruteraan jalan,” kata JKR Hulu Langat lagi.
Berdasarkan hantaran berkenaan, dapat dilihat cat berkenaan mengeluarkan cahaya berwarna hijau ketika dalam keadaan gelap pada waktu malam.
Penggunaan cat ini dipercayai dapat membantu pemandu untuk melihat jalan dengan lebih mudah seterusnya dapat mengurangkan risiko kecelakaan.
Dalam hantaran berkenaan, JKR Hulu Langat meminta agar orang ramai tidak terkejut ketika melelui kawasan terbabit.
“Ini kordinatnya 3.093245,101.894864. Hati-hati memandu di jalan raya.”
Jalan “glow in the dark” telah wujud di Australia terlebih dahulu
Cat ciptaan sebuah syarikat kecil Australia dengan hanya menggunakan produk yang sering ditemui dalam mainan kanak-kanak ini dipercayai dapat menyelamatkan ribuan nyawa di jalan raya.
Sebelum ini, Tarmac Linemarking dari Victoria’s Gippsland telah menguji garisan jalan photoluminescent sepanjang satu kilometer.
Menurut laporan Daily Mail, hasil daripada sesi pengujian difahamkan telah menjadi tular dalam kalangan masyarakat.
Lapisan pada garisan jalan itu akan memancarkan cahaya yang diserap dan disimpan pada waktu siang serta menghasilkan garisan yang lebih cerah pada waktu malam.
John Emanuelli dari Tarmac Linemarking berkata, beliau telah dibanjiri dengan banyak permintaan sejak pengujian bermula. Khususnya daripada pihak berkuatkuasa tempatan dan entiti perniagaan yang ingin menjadikan laluan masing-masing lebih selamat.
“Produk ini telah menarik minat banyak pihak selepas fasa ujian bermula. Ia adalah produk yang hebat,” ujar lelaki Emanuelli.
Syarikat Australia itu percaya bahawa produk itu boleh digunakan untuk membuat garisan di pelbagai lokasi. Antaranya di kawasan pakir, laluan pejalan kaki, di jeti dan kawasan yang menjadi tumpuan pengguna jalan.
BACA: Cameron Highlands Mendunia, Diiktiraf Antara 51 Tempat Tercantik Di Dunia
Sumber: JKR Hulu Langat