Siakap Keli
goldfish haiwan peliharaan
Kredit: AFP

Bagaimana “Goldfish” Boleh Jadi Haiwan Peliharaan Pertama Semua?

Bagaimana “Goldfish” Boleh Jadi Haiwan Peliharaan Pertama Semua?

Apabila soalan berkenaan haiwan peliharaan pertama muncul, selalunya apa yang terlintas dalam fikiran? Sesetengah orang kemungkinan akan menjawab haiwan berbulu seperti kucing dan anjing.

Sekiranya anda menjawab ikan emas, anda tidak keseorangan kerana kebanyakan antara kita telah memelihara ikan emas sewaktu kecil. Ikan ini adalah haiwan peliharaan permulaan yang sangat penting untuk kanak-kanak dan ia agak masuk akal mengapa ia terjadi.

Pada asasnya, ikan emas mempunyai tarikan yang tersendiri di mana ia cantik untuk dilihat dan harganya juga berpatutan untuk dibeli.

Pada pandangan pertama, kita akan memikirkan haiwan tersebut mudah untuk dijaga kerana ia tidak memerlukan banyak perhatian.

Hanya lempar sahaja beberapa kepingan makanan ke dalam bekas haiwan itu pada setiap pagi dan tugas anda sebagai pemelihara pun selesai.

Tetapi, ikan emas sebenarnya bukanlah haiwan peliharaan yang tidak langsung memerlukan penjagaan rapi seperti yang diharapkan orang ramai. 

Sebelum diterangkan tentang cara untuk menjaganya, mari kita ketahui terlebih dahulu bagaimana ia menjadi begitu popular untuk dijadikan sebagai haiwan peliharaan.

Daripada penghuni kolam ke penduduk tetap di kedai jual beli 

Kredit: Borneo Bulletin

Ikan emas iaitu ahli keluarga ikan mas merupakan sejenis ikan yang biasanya menjemukan dan pada mulanya dibiakkan untuk menjadi umpan, bukan sebagai haiwan peliharaan.

Kebiasaannya, kulitnya berwarna kelabu atau hijau yang kurang menarik tetapi apabila ia membiak dari masa ke masa, mutasi genetik mula berlaku dan di sinilah anda mula melihat ikan tersebut memiliki warna emas dan kuning.

Ikan emas & kaitan sejarahnya dengan agama Buddha

Menurut ahli sejarah sains di Universiti Lincoln dan pengarang Goldfish, Anna Marie Roos, ia tidak mengambil masa yang lama untuk variasi genetik ini terkait dengan makna fahaman agama.

Bermula sekitar abad kesembilan, warnanya yang menarik telah membuatkan orang ramai memilih untuk menghormatinya dengan cara melepaskannya ke dalam kolam Buddha dalam upacara yang dikenali sebagai ‘pelepasan belas kasihan’.

Ikan itu kemudiannya dijinakkan oleh sami Buddha, yang memberi makan dan memeliharanya.

Ikan emas akhirnya berjaya keluar dari kepompong China dan berakhir di Jepun pada abad ke-16, serta kemudiannya mendarat di Eropah.

BACA: Ikan Emas Bersaiz ‘Bola Sepak’ Dilapor ‘Jajah’ Tasik Setelah Bertahun-Tahun Orang Buang Ikan Peliharaan Dalam Tasik

Haiwan itu diperkenalkan ke setiap tempat baharu sebagai haiwan peliharaan dan sering dipamerkan di air pancut dan pameran.

Untuk pengetahuan, Suruhanjaya Perikanan Amerika Syarikat (US) telah memainkan peranan penting yang menjadikan ikan emas itu tersenarai ke dalam status haiwan kesayangan.

Perkara itu terjadi selepas pihak tersebut menerima ikan emas pada tahun 1878 dari Jepun,

Untuk mempromosikan agensi kerajaan mereka yang agak baharu, mereka mula menghantar ikan emas dalam mangkuk kepada mana-mana penduduk Washington D.C.

Tindakan mudah menghantar ikan emas kepada rakyat Amerika ini boleh dikatakan menyebabkan ledakan ikan emas dengan cepat menjadikannya pemandangan popular di pameran tempatan dan kedai haiwan peliharaan.

Cara jaga ikan emas

Ikan emas bukanlah haiwan peliharaan yang mempunyai penyelenggaraan yang rendah dan sebagai permulaan, ikan ini boleh membesar dari ukuran 5 inci hingga 2 kaki panjang, bergantung kepada baka.

Kredit: AFP

Mustahil sebenarnya untuk mengetahui dengan tepat berapa besar ikan emas anda akan membesar.

Anda disyorkan untuk mendapatkan tangki yang memuatkan sekurang-kurangnya 20 gelen air bagi setiap ikan emas. (Untuk rujukan, mangkuk ikan standard ialah kira-kira 1.5 gelen).

Untuk mengelakkan haiwan peliharaan anda daripada tertekan, anda juga perlu meletakkan batu akuarium, tumbuhan dan tempat bersembunyi di seluruh tangki.

Sumber: Mental Floss

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini