Siakap Keli
anwar petisyen nik elin
Kredit: BERNAMA

‘Di Mana Yang Kita Tentang?’, Anwar Kesal Ada Percubaan Lagakan Isu Petisyen Nik Elin

‘Di Mana Yang Kita Tentang?’, Anwar Kesal Ada Percubaan Lagakan Isu Petisyen Nik Elin

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa kesal terhadap percubaan yang melaga-lagakan isu notis petisyen yang difailkan oleh peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Kelantan.

Anwar berkata beliau tidak menentang malah mahu ia diselesaikan mengikut kaedah yang betul susulan tidak mempunyai hak dalam membuat keputusan.

“Saya tegaskan ini Yang di-Pertua kerana ada cubaan cuba nak laga-lagakan seolah-olah kita menentang. Di mana yang kita tentang?

“Kes ini kes yang diputuskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, dicabar oleh Nik Elin yang mengatakan bertentangan dengan Persekutuan.

“Maknanya DUN, Parlimen, Perdana Menteri tidak boleh buat keputusan (disebabkan itu) bawa ke mahkamah dan sekarang ke Mahkamah Persekutuan.

“Bila dibawa ke Mahkamah Persekutuan, siapa yang perintah pada 25 Mei tahun lalu? Siapa Perdana Menteri? Siapa Menteri Undang-undang? Dan sekarang ini semua dibebankan kepada kita,” katanya mengenai isu tersebut.

Pada 17 Ogos, Bernama melaporkan mahkamah telah mendengar hujah peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Nik Elin dan anak perempuannya serta peguam Datuk Kamaruzaman Muhamad Arif, yang mewakili kerajaan Kelantan.

Peguam kelahiran Kelantan itu dan anak perempuannya memfailkan petisyen untuk mencabar keperlembagaan dan kesahihan 18 peruntukan dalam Enakmen tersebut.

Mereka mendakwa badan perundangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan itu kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan yang sama.

Mereka memfailkan petisyen itu terus ke Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan dan menamakan kerajaan negeri Kelantan sebagai responden tunggal.

Pada 30 Sept 2022, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada kedua-dua wanita itu untuk memulakan cabaran mereka.

Sumber: Sinar Harian (@SinarOnline)/Twitter, BERNAMA

Nurhanis

Sebahagian bahagia juga melepaskan