Angkasawan British Pertama Ke Bulan Dalam Misi Artemis III
Setiausaha Negara untuk Sains, Inovasi dan Teknologi United Kingdom, Michell Donalan telah melawati ibu pejabat Pentadbiran Aeronautik & Angkasa Kebangsaan (NASA) di Florida, Amerika Syarikat.
Menurut Daily Star, beliau ke sana atas tujuan untuk mengenal pasti mengenai kemungkinan misi angkasawan British menjejakkan kaki ke Bulan.
Khususnya, soalan yang ditanya adalah mengenai misi Artemis III yang merupakan misi ke Bulan yang pertama selepas misi Apollo 17 pada Disember 1972.
“Saya bertanya kepada NASA mengenai misi Artemis, apakah kemungkinan untuk angkasawan British untuk menyertai misi itu? Kata mereka, ianya tidak mustahil,” kata Michelle Donalan kepada Telegraph.
NASA menjawab, dalam masa beberapa bulan angkasawan British akan mendapat peluang untuk pergi ke Bulan. Mereka turut berkata, angkasawan British juga berpeluang untuk ke Marikh dalam 10 tahun akan datang.
Kata NASA lagi, ia tidak mustahil untuk angkasawan British menyertai misi mereka itu untuk mewakili United Kingdom.
Setiausaha itu turut menambah, “Kami mempunyai antara salah satu sektor angkasa lepas yang amat berinovasi di dunia. Kami juga mempunyai angkasawan yang berbakat seperti Tim Peake,”
Tim Peake yang dimaksudkan ialah angkasawan British pertama yang dapat menjejakkan kaki ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Dia juga sudah lama mempunyai keinginan untuk berjalan di permukaan Bulan.
BACA JUGA: Suhu Terlalu Panas, Taylor Swift Tangguhkan Konsert
Selain itu, Michelle Donolan memberitahu, misi yang harus disertai oleh angkasawan British adalah misi Artemis yang ketiga. Kerana itu merupakan misi di mana mereka akan mendarat di atas Bulan, manakala misi kedua hanyalah mengelilingi Bulan.
Persoalan dan penegasannya untuk angkasawan British menyertai misi Artemis III berkemungkinan berpunca daripada 12 orang angkasawan yang berjaya ke Bulan sebelum ini. Mereka semua mewakili Amerika Syarikat yang juga sebahagian daripada program angkasa NASA iaitu Apollo.
Juga dilaporkan oleh Mails Online, Setiausaha Negara itu turut memberi cadangan untuk angkasawan British melibatkan diri dalam misi ke Marikh yang dijadualkan pada 10 tahun akan datang.
Selain daripada Tim Peake, angkasawan British yang lain seperti Rosemary Coogan, Meganne Christian dan John McFall bakal dicadangkan juga selepas mereka menyertai Agensi Angkasa Eropah pada tahun lepas.
Sumber: Daily Star