Siakap Keli
Gambar via Sinar Harian

Jual Serendah RM1, Mahu Pelanggan Kurang Mampu Gembira Nikmati Kek

Jual Serendah RM1, Mahu Pelanggan Kurang Mampu Gembira Nikmati Kek

Seorang peniaga tekad untuk menjual kek yang dijualnya dengan harga RM1 sepotong. Peniaga itu berniat untuk menggembirakan golongan yang kurang berkemampuan membeli kek.

Noraliza Kamaruddin, 42, merupakan pemilik kedai Raziq Kafe yang mahu berkongsi rezeki dengan para pelanggan di kedainya itu dengan menjual pemanis mulut pada harga mampu milik. Dia juga merupakan seorang ibu kepada lima orang anak.

Menurutnya, dia percaya bahawa rezeki pasti akan digandakan apabila bersedekah. Walaupun harga untuk membuat pemanis mulut semakin meningkat, dia tetap mahu meneruskan usahanya itu.

“Saya gembira dan berpuas hati kalau orang ramai dapat membeli dan merasa kek, kerana tak semua orang mampu untuk membeli kek kerana harganya yang mahal.

“Tapi, bila harga kek RM1, ada yang mampu membelinya, terutama sekali yang ada ramai anak. Mereka semua boleh makan kek,” katanya apabila ditemui pemberita Sinar Harian pada Sabtu, di restoran Seberang Balok.

Difahamkan Noraliza bersimpati dengan golongan yang kurang berkemampuan yang tidak dapat menikmati pemanis mulut itu, ketika dia menceritakan semula usaha yang dilakukan.

Wanita yang juga merupakan isteri kepada Ady Jaelani, 55, itu turut melakukan kajian menggunakan bahan-bahan yang murah untuk menghasilkan kek yang mempunyai kualiti yang tinggi dan menjualnya.

Menurutnya, kek yang dibuat olehnya boleh menandingi kek premium walaupun menggunakan bahan-bahan yang murah.

Menjual Kek RM1

“Sejak saya menjual kek dengan harga RM1, ramai suri rumah yang membuat tempahan untuk menjual semula kek saya dengan harga yang masih boleh memberi keuntungan kepada mereka. Saya tetap menjual kek saya dengan harga RM1 sepotong dan RM36 sebiji. Saya tak dapat jual murah dari itu.

“Tapi, dengan harga itu jugalah pelanggan saya yang menjual semula kek itu mendapat keuntungan,” ujarnya lagi.

Noraliza turut berkata, “Saya lihat, usaha ini bukan saja dapat membantu golongan berkemampuan untuk membeli kek bagi meraikan hari jadi anak-anak mereka dengan harga yang murah, ia juga dapat membantu ekonomi terutama sekali dalam kalangan suri rumah,”

Dia gembira kerana usahanya itu telah membantu orang lain untuk menjana pendapatan mereka sendiri.

Noraliza juga berkata, terdapat 13 jenis kek yang dihasilkan di kedainya pada setiap hari dan kek yang terjual adalah 17 hingga 40 biji kek.

Dia menyenaraikan antara kek yang laris dijual ialah kek keju, tiramisu, Oreo, coklat dan juga red velvet.

“Sebiji kek mempunyai 36 potong dan selalunya pelanggan saya akan mencampurkan perisa. Kalau mereka beli 10 potong pun dah cukup untuk gembirakan anak-anak mereka,” kata Noraliza.

Dia berpuas hati apabila dia dapat menggembirakan orang ramai yang menikmati keknya itu, walaupun hakikatnya menjual kek dengan harga RM1 tidak memberikan keuntungan yang besar kepadanya.

“Saya tak mampu untuk beri sumbangan dari segi tenaga dan wang, jadi inilah cara saya menyumbang kepada masyarakat,” ujarnya.

Selain daripada kek-kek yang dijual, Noraliza turut menjual hidangan berasaskan negara Indonesia seperti nasi ayam penyet, pecal, bakso, es teler dan banyak lagi.

Sumber: Sinar Harian

BACA JUGA: Kenali Pitu Rooms: Hotel ‘Terkurus’ Di Dunia, Hanya Ada 7 Bilik

Nurul Alya