Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Hari Lahir Bertukar Cemas, Ibu Kongsi Detik Anak Tertelan Dawai Logam Dalam Kek

Sofea
Hari Lahir
Kredit: reyaanshandmama

Hari lahir sepatutnya menjadi hari yang paling gembira buat sesiapa saja yang menyambutnya, namun lain pula yang berlaku di Thane, India pada bulan lalu.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun berdepan detik cemas apabila tertelan dua dawai logam yang tersembunyi dalam pin boling coklat yang menghiasi kek hari jadinya.

Mujurlah dawai itu keluar sendiri secara semula jadi, tanpa perlu melakukan pembedahan.

Ibu kepada kanak-kanak itu, Sneha Shelar berkongsi mengenai kejadian tersebut di media sosial miliknya dan berkata ia merupakan mimpi ngeri yang paling teruk berlaku dalam hidupnya.

Menurut Times of India, Sneha dan ahli keluarganya yang lain telah meraikan malam hari jadi kanak-kanak itu pada 31 Mei lalu.

Majlis sambutan itu bertemakan Spiderman dan kek boling yang ditempah khas.

Sneha yang merupakan seorang guru biologi mendakwa bahawa sebuah kedai roti yang berpangkalan di Thane telah memasukan wayar logam ke dalam pin boling coklat sebagai perancah.

Ujarnya lagi, kedai itu juga tidak memberi amaran kepadanya, walaupun dimaklumkan bahawa kek itu bertujuan untuk kanak-kanak kecil.

Bahaya itu hanya terbongkar selepas kanak-kanak yang lebih besar menemui dawai logam dalam hiasan tersebut dan memaklumkan kepada ibu bapa mereka.

Bimbang anaknya telah menelan dawai itu, keluarga Sneha bergegas membawa kanak-kanak tersebut ke Hospital Jupiter untuk melakukan imbasan X-ray.

"Imbasan menunjukkan dua dawai logam tersangkut di usus kecilnya," kata Sneha.

Tak perlu bedah

Pun begitu, doktor menasihatkan agar mangsa tidak menjalani pembedahan kerana dawai tersebut telah sampai ke usus dan mengesyorkan agar mereka menunggu sehingga ia keluar secara semula jadi.

Selepas 48 jam, dua dawai itu telah keluar dan kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan baik.

Dalam masa yang sama, keluarga mangsa turut membuat laporan polis tetapi diberitahu bahawa perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan.

Bagaimanapun, pegawai jabatan itu tidak boleh menyiasat tanpa sampel kek atau pin boling coklat.

Shirish Deshpande dari Maharashtra Grahak Parishad berkata Akta Perlindungan Pengguna 2019 mewajibkan pengilang dan penjual bertanggungjawab atas kerosakan yang disebabkan oleh produk yang rosak atau amaran yang tidak mencukupi.

"Perkara ini juga merangkumi trauma mental, bukan hanya liabiliti fizikal," katanya.

Tambahnya lagi, keluarga yang terjejas boleh menuntut pampasan di mahkamah pengguna.