Siakap Keli
polis Bom Sekolah Antarabangsa
Gambar: Bernama

Polis Terima Satu Lagi Ancaman Bom Sekolah Antarabangsa

Polis Terima Satu Lagi Ancaman Bom Sekolah Antarabangsa

KAJANG, 22 Nov (Bernama) — Polis mengesahkan menerima satu lagi laporan ancaman bom di sebuah sekolah antarabangsa di sini kira-kira 8 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata e-mel ancaman bom itu bertarikh 21 Nov, namun hanya disedari pihak sekolah awal pagi ini.

Beliau berkata pemeriksaan dan siasatan lanjut sedang dibuat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dan unit anjing pengesan K9 telah dikerah untuk tindakan keselamatan.

Mohd Zaid berkata sebaik menerima laporan, pihak pengurusan diarah mengosongkan bangunan sekolah dan selepas pemeriksaan rapi, tiada bahan letupan atau bahan mencurigakan ditemui.

“Polis percaya ancaman bom berkenaan adalah palsu dan sekolah antarabangsa itu dibuka seperti biasa,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelupusan Barang Kes dan Lelongan Kenderaan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang 2023 di pekarangan Balai Polis Bangi di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan polis telah menerima 19 laporan mengenai ancaman bom palsu yang dihantar melalui e-mel ke beberapa buah sekolah swasta dan kerajaan di seluruh negara.

BACA JUGA: Kenali Manchineel, Pokok Paling Berbahaya Di Dunia Hingga Digelar “Tree Of Death”

Ancaman berkenaan dihantar menerusi dua akaun e-mel menggunakan nama ‘taktstorer’ yang bermaksud ‘pengganggu ketenteraman’ dalam bahasa Jerman daripada penyedia perkhidmatan e-mel beeble.com.

Terdahulu, polis daerah Kajang melupuskan barang kes peralatan judi hasil rampasan sepanjang tempoh 2021 hingga Nov 2023 bernilai RM2.4 juta.

Pelupusan barangan kes yang selesai perbicaraan di mahkamah itu dibuat bersama Hakim Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi Effandi Nazila Abdullah.

Sebanyak 3,482 set mesin slot, 92,226 tin minuman keras, 843 botol arak, 15,264 karton rokok pelbagai jenama, 765 mesin bitcoin, 127 unit set komputer, 898 telefon bimbit dan 186 kad ATM turut dilupuskan.

Pelupusan itu dilakukan mengikut kaedah dan peraturan di bawah Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN D207) dan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 406A Kanun Prosedur Jenayah.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?