Siakap Keli
kutipan zakat negeri sembilan

Kutipan Cecah RM91.6 Juta Tapi Kemana Pergi Duit Zakat Negeri Sembilan?

Kutipan Cecah RM91.6 Juta Tapi Kemana Pergi Duit Zakat Negeri Sembilan?

Bila sebut pasal zakat, tiada apa-apa pemodenan di dunia ini boleh mengubah bahawa mengeluarkan zakat itu wajib hukumnya seperti yang termaktub dalam rukun Islam yang keempat. Setiap tahun pusat kutipan zakat setiap negeri akan mengumumkan jumlah kutipan zakat dan masih ada segelintir netizen mempertikaikan ke mana perginya duit zakat yang dikutip mencecah ratusan juta ringgit.

Bagi menguraikan persoalan itu, SK mengambil Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) sebagai contoh. Menerusi laman web MAINS, mereka mengeluarkan statistik kutipan dan agihan mengikut golongan setiap penerima. Dari Januari sehingga September 2023, MAINS telah berjaya mengutip sebanyak RM91,628,582.81 daripada jenis zakat pendapatan, wang simpanan, perniagaan dan lain-lain. MAINS  telah  mengagihkan sebanyak RM125,680,105.43 kepada tujuh golongan yang layak menerimanya dalam tempoh sama tahun ini.

Golongan Fisabilillah menjadi golongan paling banyak menerima agihan zakat tahun ini di Negeri Sembilan iaitu sebanyak RM53,858,726.93. Berdasarkan laman web MAINS, golongan Fisabilillah ialah mana-mana orang atau pihak yang melibatkan diri dalam sesuatu aktiviti untuk menegak, mempertahan dan mendakwahkan agama Islam serta kebajikannya.

Kemudian, golongan kedua paling banyak diagih adalah kepada golongan miskin iaitu sebanyak RM28,577,352.44 dan seterusnya golongan fakir sebanyak RM20,580,180.60. Untuk Amil iaitu orang yang dilantik menguruskan hal ehwal zakat telah diagihkan kepada mereka sebanyak RM11,416,066.31. Golongan Muallaf iaitu seseorang yang baru memeluk Islam telah diagihkan kepada mereka sebanyak RM8,221,823.14.

RM2,990,196.01 telah diagih kepada golongan Gharimin iaitu Golongan yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas bagi kemaslahantan diri, keluarga dan tanggungannya atau masyarakat serta individu yang ditimpa musibah dan hutang yang dibenarkan oleh hukum syarak. Akhir sekali adalah golongan Ibnu Sabil iaitu orang Islam yang kehabisan belanja semasa memulakan perjalanan atau dalam perjalanan yang mendatangkan manfaat serta sesuai dengan hukum syarak sebanyak RM35,750.

Untuk zaman serba canggih ini, dah tiada alasan lagi untuk kita terlupa membayar zakat sebab mengikut Portal Pembayaran Zakat Negeri Sembilan, tak perlu lagi nak ke pusat zakat, kita boleh bayar zakat secara online sahaja. Portal ini juga membolehkan kita menyemak bayaran zakat yang telah dibuat dan ada disediakan kalkulator zakat untuk mengira zakat pendapatan, perniagaan atau emas yang perlu dibayar.

Bagi golongan-golongan yang layak menerima zakat, seperti golongan fakir atau miskin, permohonan boleh dibuat di mana-mana kaunter di setiap daerah di Negeri Sembilan seperti yang tertera dalam pautan ini Senarai Kaunter Zakat.

Natijahnya, sebagai umat Islam yang beriman,janganlah kita semua lalai dalam menunaikan kewajiban membayar zakat. Semua hanya di hujung jari dalam zaman serba moden ini. Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 43 yang bermaksud Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat.”

Maklumat lanjut boleh layari laman web MAINS

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)