Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Jumlah Rakyat Palestin Ditahan Di Penjara Israel Melebihi 7,000
RAMALLAH (Palestin), 27 Nov (BERNAMA-WAFA) — Suruhanjaya Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin mendedahkan jumlah tahanan rakyat Palestin di kesemua penjara Israel melebihi 7,000 orang, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Memetik kenyataan berbahasa Arab suruhanjaya berkenaan pada Ahad, WAFA melaporkan Israel menahan lebih 3,200 rakyat Palestin dalam tempoh 8 Okt hingga 14 Nov, dengan angka tertinggi dari Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis.
Ini termasuk lebih 200 remaja dan kanak-kanak, 78 wanita selain ratusan orang sakit dan cedera yang masih memerlukan rawatan.
“Seramai 29 daripada 41 wartawan yang ditangkap masih dalam tahanan sejak 7 Okt,” menurut kenyataan itu.
Menurut WAFA, Israel mula mempergiat operasi penangkapan di lapangan sehari selepas konflik Israel-Gaza memuncak pada 7 Okt, termasuk melakukan serbuan ke premis-premis awam, merosak dan memusnahkan rumah penduduk di Gaza selain memukul keluarga tahanan.
Sebelum ini, Hamas pada Ahad mengumumkan bahawa pihaknya berusaha melanjutkan jeda kemanusiaan dengan Israel di Semenanjung Gaza.
Sementara itu, menurut sumber Palestin, Hamas sudah pun memaklumkan kepada Qatar dan Mesir mengenai kesediaannya untuk melanjutkannya selama dua hingga empat hari lagi, lapor Agensi Anadolu.
Jeda kemanusiaan di bawah pengantaraan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat berkuat kuasa pada Jumaat telah menghentikan sementara tindakan Israel ke atas Semenanjung Gaza.
Dalam pada itu, sekurang-kurangnya 14,854 rakyat Palestin termasuk 6,150 kanak-kanak dan lebih 4,000 wanita maut sejak konflik bermula pada 7 Okt, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.
Sumber: BERNAMA