Istilah Payung Emas Adalah Hadis Palsu – Dr Zulkifli
Dakwaan yang mengatakan isteri yang membenarkan suaminya berpoligami ekoran mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW akan memperolehi ‘payung emas’ di syurga adalah hadis palsu.
Demikian penjelasan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang dipetik kembali di laman X miliknya.
Jelas mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu, tidak boleh menetapkan hukum atas sesuatu berdasarkan zahir ia sunnah atau tidak sebaliknya perlu melihat kepada maslahat perkara tersebut.
“Tidak ada payung emas mahupun free gift payung. Ia hadis palsu.
“Begitu juga dengan poligami. Terkadang ia menjadi perlu dan terkadang tidak perlu bahkan boleh jadi menzalimi.
“Hukum berpoligami itu sendiri boleh jadi harus, sunat dan haram. Tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan.
“Berbincang dengan baik, beri nasihat, dan pandangan, demi untuk mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap hak isteri dan juga anak-anak,” katanya dalam hantaran yang pernah dimuat naik pada 1 Februari tahun lalu.
BACA: Dr Zulkifli Jelaskan Hukum Berkongsi Rumah Sewa Berbeza Jantina Bukan Mahram Ketika Bercuti
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan yang mengatakan seorang isteri akan ke neraka kerana menentang poligami.
Memetik juga pertanyaan individu itu, ia memaparkan satu kenyataan daripada seseorang yang mendakwa wanita zaman kini ‘terlepas’ peluang meraih ‘payung emas’ di akhirat kerana menolak poligami.
“Ramai perempuan masuk neraka kerana menentang poligami. Ia adalah sunnah nabi. Wanita akhir zaman ramai yang kejar nikmat dunia berbanding payung emas di akhirat.
“Dahsyatnya akhlak wanita-wanita zaman sekarang. Patutlah mereka sangat ramai menguni neraka Jahannam. Wallahua’lam,” kata kenyataan itu.
Tambah Dr Zulkifli, sikap sebagai muslim adalah tidak menentang sebarang syariat Allah SWT yang pasti ada keperluan dan hikmah dalam keadaan tertentu.
“Kita cuma menolak sikap menggunakan agama untuk kepentingan individu lantas mengabaikan hak-hak lain,” ujarnya.
1. Tidak ada payung emas mahupun free gift payung. Ia hadith palsu.
2. Jika seorang wanita solat 5 waktu, puasa Ramadan, pelihara kemaluan dan ta'at kpd suaminya, Nabi kata masuklah ke syurga melalui pintu yang dikehendaki. [Riwayat Ibn Hibban, 9/471]
Rujuk rajutan. https://t.co/N68sJ8T6zm
— Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (@drzul_albakri) February 1, 2022
Sumber: @drzul_albakri/Twitter
BACA: Dr Zulkifli Jelaskan Hukum Cari Jalan Jauh Untuk Lakukan Solat Qasar