Siakap Keli
pengantin tembak isteri
Kredit: Viral Press

Pengantin Atlet Paralimpik Tembak Mati Isteri Ketika Majlis Kahwin Sendiri

Pengantin Atlet Paralimpik Tembak Mati Isteri Ketika Majlis Kahwin Sendiri

Seorang pengantin lelaki di Thailand yang juga atlet paralimpik negara itu dilapor menembak mati empat tetamu majlis perkahwinannya termasuk isterinya sendiri, lapor Independent.

Malah lebih mengejutkan, suspek berusia 29 tahun yang juga bekas anggota tentera laut negara itu turut menembak dirinya sendiri.

Menurut jurucakap polis seperti dilapor Bangkok Post, majlis perkahwinan kedua-dua mempelai di sebuah rumah di daerah Wang Nam pada Sabtu itu berlangsung dengan lancar.

Walau bagaimanapun, suspek dikatakan meninggalkan majlisnya secara tiba-tiba dalam keadaan tidak gembira dan menuju ke keretanya sebelum kembali dengan membawa sepucuk pistol.

Suspek kemudiannya bertindak melepaskan tembakan hingga menyebabkan pengantin perempuan (isterinya), ibu serta adik isterinya maut.

Malah seorang tetamu lain di lokasi kejadian turut sama terkena tembakan hingga mengalami kecederaan serius.

Namun menurut polis, suspek akhirnya menembak dirinya sendiri sehingga mati di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, jurucakap polis mendakwa suspek berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian tembakan tersebut yang berlaku kira-kira 11.25 malam.

Hasil siasatan di tempat kejadian pula mendapati sebanyak 11 butir peluru ditemui, namun motif sebenar tembakan masih belum dikenal pasti.

Difahamkan, menurut polis, suspek dan pengantin perempuan yang berusia 44 tahun itu tinggal bersama selama tiga tahun sebelum memutuskan untuk berkahwin.

Untuk info, suspek merupakan seorang bekas tentera laut Thailand dan sebelah kakinya telah dipotong selepas terlibat dalam sebuah kemalangan.

Selain itu, beliau juga adalah atlet paralimpik Thailand dan pernah menyertai Sukan Para Asean ke-11 yang berlangsung di Indonesia tahun lalu.

Hasil penyertaannya di sukan tersebut, suspek berjaya memenangi pingat perak dalam aksi sukan renang.

BACA JUGA: Bergaduh Sebab Majlis Kahwin, Lelaki Warga Emas Dipercayai Tembak Tunang Hingga Mati

Sebelum ini, turut pernah berlaku insiden hampir serupa melibatkan kes tembak pasangan hingga mati seperti yang berlaku di Thailand pada September tahun lepas.

Imbas kembali laporan terdahulu, seorang warga emas berusia 62 tahun dilapor menembak tunangnya sehingga mati sewaktu berbincang mengenai majlis perkahwinan mereka.

Namun malangnya warga emas terbabit turut menembak dirinya sendiri sehingga mati di tempat kejadian.

BACA: Proton Pakistan Promo Saga, Rakyat Malaysia Tolong “Support” Dekat Komen

Sumber: Independent

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka