Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

SK Buktikan Langkawi Bukan ‘Pulau Hantu’, Masih Ramai Je Pelancong Kerana 7 Alasan Ini
Sejak beberapa bulan lalu, rakyat Malaysia khususnya warganet di media sosial gegak gempita mengenai Langkawi yang dikatakan sudah kurang mendapat sambutan dan tidak dikunjungi oleh pelancong tempatan.
Betul ke Langkawi bakal jadi ‘pulau hantu’ atau ‘pekan zombie’ seperti yang didakwa?
Kebetulan pula baru-baru ini SK berpeluang pergi ke Langkawi bersama Klook selama empat hari, jadi dapat tengok sendiri mengenai situasi di sana.
Rupanya ia tidaklah seteruk seperti yang digembar-gemburkan. Walaupun min pergi pada hari bekerja, bukan pada hujung minggu, lokasi pelancongan di Utara itu masih dipenuhi oleh pengunjung dari dalam dan luar negara. Malah, sesetengah lokasi tumpuan turut sesak dengan orang ramai.
Tidak cuma itu, para pengendali yang menguruskan aktiviti dan perkhidmatan di situ berkata Langkawi masih lagi ‘hidup’ dengan kehadiran pelancong. Tambahan lagi, faktor digitalisasi memudahkan orang ramai untuk menempah sebarang khidmat yang ditawarkan.
Selama berada di sana, min telah mengunjungi beberapa lokasi popular dan dapat melihat kemeriahan serta keterujaan para pelancong untuk mencuba pelbagai aktiviti menarik.
Jadi, dari pengalaman min ‘meneroka’ di Langkawi ini, min dapat simpulkan ada beberapa sebab ia masih lagi relevan dan menjadi lokasi tumpuan pelancong. Antaranya:
Pergilah ke mana pun, salah satu aspek paling penting yang biasanya diambil kira oleh semua orang adalah mengenai makanan. Di Temple Tree Paloh Restaurant ini, anda mesti akan puas hati bila dapat makan pelbagai lauk pauk Melayu yang pastinya sangat menyelerakan.
Lokasinya yang terletak tidak jauh dari Pantai Cenang menjadikan ia salah satu tempat makan yang perlu dikunjungi.

Pengurusnya, Irene Vairo berkata restoran itu menyediakan pelbagai menu berlainan bagi sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Bagi makan tengah hari, antara menu yang wajib anda cuba adalah asam pedas, daging kerutuk dan ikan bakar.
Menurutnya lagi, hanya bahan-bahan segar digunakan bagi menghasilkan hidangan di restoran itu. Malah mereka juga merancang untuk menanam sayur-sayuran sendiri menggunakan sistem hidroponik.
“Kesegaran bahan menentukan kesedapan sesuatu hidangan, ia juga menjadikan makanan itu unik dan berkualiti,” katanya.
Walaupun dekorasi restoran ini mempunyai sentuhan moden namun rasa tenang seperti berada di kampung tetap ada. Bila dah siap makan, bolehlah menjengah sebentar ke luar restoran dan merasai deruan angin yang mengasyikkan.
Sambil-sambil itu boleh juga ‘meneroka’ Temple Tree Resort yang menempatkan beberapa ‘rumah warisan’ bertemakan beberapa negeri seperti negeri Johor dan Pulau Pinang. Keunikan reka bentuk bilik memberikan rasa nyaman buat pelanggan yang ingin tinggal di situ.


Seperti yang diketahui, Langkawi ini ada pelbagai kisah mitos dan legenda yang menarik. Selain kisah sumpahan Mahsuri, Langkawi juga terkenal dengan kisah Dayang Bunting, Tun Teja, Merong Mahawangsa, Puteri Kayangan dan Pergaduhan Dua Gergasi.
Mungkin selama ini anda hanya dengar atau baca kisah-kisah ini di internet atau dari buah mulut orang saja. Justeru, kalau nak tahu dengan lebih mendalam, anda kena pergi ke Dream Forest ini untuk ‘rasai’ pengalaman penceritaan yang unik.

Mana tidaknya, semua kisah itu dipaparkan dan diceritakan semula menerusi teknologi digital interaktif dalam bentuk immersive. Ia ditambahkan lagi dengan pesona pencahayaan yang cantik serta visual dan audio yang berkualiti.
Bagi yang belum tahu, Dream Forest ditubuhkan hasil usaha oleh Enfiniti Sdn Bhd yang diketuai oleh Puan Sri Tiara Jacquelina.
Baru dibuka kepada orang ramai pada Jun lalu, Pengurus Besar Enfiniti, Alicia Herrera, menjelaskan bahawa idea untuk membina Dream Forest di hutan yang terletak di Lubuk Semilang itu datang dari Tiara sendiri.

“Tiara sendiri berikan idea untuk bina Dream Forest di sini agar orang ramai boleh merasai pengalaman penceritaan secara langsung dalam hutan ini.
“Terdapat banyak kisah legenda, mitos dan cerita rakyat yang ada di Pulau Langkawi, dia (Tiara) memilih untuk mengangkat kisah Puteri Dayang Bunting, Merong Mahawangsa dan Gergasi,” katanya kepada SK.
Jelasnya lagi, pengunjung dapat mendalami kisah-kisah tersebut ketika berjalan di hutan itu. Dengan suasana malam yang tenang dan sejuk, min sangat terpesona dengan cahaya lampu yang berwarna-warni yang memberikan gambaran mengenai bait-bait kisah yang diceritakan.

Harga tiket juga berpatutan iaitu anda hanya perlu membayar sebanyak RM68 bagi dewasa, RM48 bagi kanak-kanak dan RM38 bagi warga emas.
Datang Langkawi ini memang tak sah kalau tak pergi ke Langkawi UNESCO Global Geopark sebab anda boleh tengok sendiri keindahan dan keunikan flora dan fauna seusai berlepas dari jeti Tanjung Rhu. Selain itu, anda boleh belajar mengenai kepelbagaian geologi dan biologi yang sememangnya ada sejarah tersendiri.

Bukan itu sahaja, anda juga boleh meneroka pokok bakau yang berdiri kukuh di Geopark itu sambil-sambil dapat melihat sendiri hidupan liar dan dalam air.
Di sebalik rimbunan pokok bakau di sepanjang terusan itu, ia dipenuhi dengan kumpulan monyet yang tidak ‘segan’ untuk berinteraksi dengan manusia. Malah, ada di antaranya yang meminta makanan dari pengunjung.


Spesies–spesies ikan, ketam, dan ular juga tidak dilupakan. Namun, yang menariknya anda juga boleh menyaksikan kawanan burung helang yang sememangnya diketahui sangat sinonim dengan Langkawi. Tidak cuma itu, anda turut akan dibawa menelusuri Gua Kelawar dan melihat sendiri kelawar tergantung di gua itu.
‘Pelayaran’ selama dua jam lebih tidak terasa penat kerana terpesona dengan keindahan kawasan itu. Bagi yang suka fotografi, ketika inilah anda boleh beraksi dan merakam gambar yang terbaik untuk dijadikan sebagai kenangan.


Dalam masa sama, informasi yang diberikan oleh pemandu pelancong sepanjang perjalanan juga sangat mengujakan. Salah seorang darinya adalah Azri Hussain dari JungleWalla Tours yang telah berkongsi maklumat mengenai Geopark itu secara terperinci khususnya mengenai kepentingan pokok bakau di kawasan itu.
Bila sebut Langkawi, sudah tentulah kereta kabel juga akan terlintas di fikiran. Dengan harga tiket serendah RM43, anda dapat menikmati pemandangan lautan dan Gunung Machincang yang tersergam indah.
Anda boleh memilih untuk menaiki jenis gondola yang disukai. Kalau inginkan sedikit cabaran, min cadangkan anda naik gondola 360 yang mempunyai lantai berkaca serta lebih terbuka.
Sepanjang perjalanan naik turun, anda akan merasai udara yang nyaman dan dapat lihat pemandangan dengan lebih jelas. Di samping itu, jangan lupa untuk berjalan dan nikmati pemandangan di Skybridge.



Bukan setakat kereta kabel dan Skybridge saja, anda juga boleh cuba aktiviti lain seperti Skydome, Sky Bridge, Skyrex dan 3D Art Langkawi.
Malah, ada tarikan terbaharu yang ditawarkan iaitu Machinchang Petland dan ATV, sesuai dilakukan bersama seisi keluarga serta rakan-rakan.



Cruise yang eksklusif dibawakan oleh Klook ini sangat sesuai bagi yang ingin bersantai sambil menyaksikan matahari terbenam bersama keluarga dan rakan.
Malah, anda juga akan dibawa untuk melakukan aktiviti air seperti menaiki banana boat dan berkayak. Selepas penat bermandi-mandi, nikmati hidangan ringan yang disediakan di atas cruise tersebut untuk mengisi perut.


Tetapi, ia tidak terhad pada waktu senja sahaja, anda juga boleh ‘berlayar’ pada waktu pagi dan tengah hari dengan harga RM150. Cuma harga bagi waktu senja sedikit berbeza iaitu sebanyak RM180.
Menjadi salah satu akuarium terbesar di Malaysia, Langkawi Underwater World menempatkan ribuan spesies akuatik termasuk ikan pari gergasi, obor-obor, ikan jerung, singa laut, penguin dan banyak lagi.
Sesuai untuk anak-anak, anda boleh tengok dan pelajari mengenai hidupan-hidupan itu dengan lebih dekat.


Jangan lupa juga untuk rakam video dan gambar ketika anda berada di sini kerana hasilnya nanti sangat cantik.
Harga tiket masuk untuk warganegara Malaysia hanya RM43 untuk dewasa dan RM30 untuk kanak-kanak.
Pantai Cenang ini memang lokasi paling wajib anda pergi sebab ada banyak aktiviti air yang boleh dilakukan dengan ahli keluarga. Selain itu, pemandangan pantai yang indah terutama ketika waktu senja menjadi daya tarikan yang menambat hati ramai.
Antara aktiviti yang boleh dicuba adalah dengan menaiki jetski, banana boat dan donut boat. Jangan risau, kesemua aktiviti ini tentunya dipantau oleh guide yang berada di situ, jadi keselamatan anda memang terjamin.
Sementara itu, bagi yang tidak gayat dan nak nikmati pemandangan pantai itu dari atas, anda boleh cuba aktiviti parasailing yang sangat menyeronokkan.

Menurut salah seorang pengendali aktiviti air itu, Raymond, sangat jarang untuk berlaku kemalangan membabitkan aktiviti air, kecuali jika pengunjung tidak mengikut arahan yang telah diberikan.
Katanya lagi, orang ramai boleh walk-in atau lebih mudah menempah terlebih dahulu semua aktiviti itu menerusi Klook dan imbas kod QR apabila tiba di situ. Menariknya, harga bagi semua aktiviti itu tidak berbeza bagi warganegara dan bukan warganegara.
Bagi banana boat, harga untuk lima orang adalah sebanyak RM115 sahaja dan parasailing pula RM169 untuk seorang.

“Digitalisasi sangat bagus kerana semuanya boleh dilakukan secara dalam talian. Selain warga tempatan, pelancong dari luar negara yang kebanyakannya mencuba aktiviti air dengan kami adalah dari Singapura dan China.
“Ada dalam kalangan mereka yang teruja kerana harga menerusi Klook lebih murah berbanding tempahan yang dibuat dari pihak ketiga atau keempat,” katanya.
Tapi bukan aktiviti air ini saja yang boleh ditempah dengan menggunakan Klook, anda juga boleh menempah aktiviti lain seperti yang disebutkan di atas.
Muat turun aplikasi Klook di telefon bimbit anda atau layari laman web di sini. Hujung tahun ini, Klook juga ada menawarkan potongan harga bagi tiket untuk sesetengah aktiviti tersebut. Jadi, jomlah kita beramai-ramai ke Langkawi!