Siakap Keli
nas-t keluang man
Gambar: IG Nas-T

Teka-Teki Terjawab, Nas-T Galas Watak Keluang Man

Teka-Teki Terjawab, Nas-T Galas Watak Keluang Man

Teka-teki mengenai siapa gerangan pelakon yang akan memegang watak adiwira Keluang Man akhirnya terjawab apabila Nas-T diumumkan sebagai pelakon utama.

Ia diumumkan dalam satu sidang media oleh Astro Shaw pada malam ini.

Memetik Astro Gempak, Nas-T atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar dipilih berdasarkan video ujibakat yang dihantarnya kepada Astro Shaw beberapa bulan lalu.

“Saya masih nervous, masih tak percaya saya dipilih sebab prosesnya sangat sukar. Ia punyai empat fasa, ramai pelakon hebat pun mencuba nasib. Saya rasa sangat kerdil,” katanya.

Dalam sidang media itu juga, tiga lagi watak lain turut diumumkan, Bagi watak Inspektor Sahab, ia dibawa oleh Anwar Beg Mughal, manakala watak Shamsir dipegang oleh Remy Ishak.

Sementara itu, Datuk Rosyam Noor pula memegang watak Ahmad.

Filem itu akan memulakan penggambaran pada 2024 dan dijangka akan ditayangkan pada 2025.

Terdahulu, netizen khususnya peminat siri animasi popular 1990-an itu berteka-teki mengenai pelakon yang bakal membawa watak Keluang Man, malah ada juga yang turut memberikan cadangan serta menyenaraikan beberapa nama.

Sebelum ini, Astro Shaw Sdn. Bhd telah mengumumkan bakal mengadakan satu sesi ujibakat bagi mencari watak lelaki utama untuk filem live-action animasi legenda tanah air itu.

Pengumuman itu dibuat menerusi laman Facebook rasmi studio filem tersebut pada 27 Julai.

Bagi yang belum tahu, animasi itu diilhamkan oleh Allahyarham Kamarudin Ismail atau lebih dikenali sebagai Kamn Ismail bersama pengasas dan pemilik UAS Animation, Natashah Md Noor.

Keluang Man disukai ramai kerana menampilkan jalan cerita yang unik dan turut diselitkan dengan elemen komedi.

Ia disiarkan sebanyak tujuh musim dengan lebih 140 episod.

Sumber: Astro Gempak

Sofea

There's always another side to every story