Sebuah stokin yang ditemui tercicir di kawasan KK Cyberjaya mencuri perhatian selepas seorang pengguna Threads, @mr.adibkamaruddin, meminta pemiliknya datang sendiri mengambil barangan tersebut.
Menerusi perkongsian di Threads, pengguna berkenaan secara berseloroh meminta pemilik stokin itu supaya tidak meminta ibu bapa datang mengambilnya.
“Kepada individu yang tercicir stokin ni, mohon datang sendiri ambil di KK Cyberjaya ya? Jangan suruh ibu bapa kamu pula ambilkan stokin kamu ni,” katanya.
Perkongsian tersebut kemudian mengundang pelbagai komen netizen yang turut berseloroh mengenai kemungkinan bagaimana stokin itu boleh tercicir.
“Lepas tu jangan salahkan mesin basuh,” komen @mikin_kassim.
“Stokin dia mesti balik, mak marah stokin hilang satu,” seloroh @cp_liza.

Lebih mencuri perhatian, seorang pengguna Threads, @zerahariz, pula mendakwa stokin berkenaan mungkin milik anaknya selepas mendapati hanya sebelah stokin berada dalam beg.
“Sekejap, saya rasa ini anak saya punya sebab ada satu saja. Nak suruh dia pergi ambil, dia dah tidur pula lepas kena cucuk semalam. Alahai, dah lah comel stokin ni. Ini bukti ada satu saja dalam beg selepas seharian mencari semalam,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @roslinda_zaidi, turut meninggalkan komen secara berseloroh dengan menyifatkan stokin itu mungkin tercabut ketika pemiliknya berjalan.
“Itulah, buas kaki tu kayuh. Tercabut dah stokin. Ambil sendiri,” selorohnya.

