Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Adun Melaka Naik Gaji Bermula Januari 2024
MELAKA, 29 Nov (Bernama) — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka akan menikmati kadar saraan baharu bermula Januari tahun depan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Ahli Pentadbiran dan Dewan Negeri (Saraan) Pindaan 2023 hari ini.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata usul berkenaan dikemukakan selepas semakan saraan terakhir bagi Ahli Pentadbiran dan Dewan Negeri dibuat pada 2015, selain Melaka berada pada kedudukan ke-11 daripada 13 negeri yang menerima bayaran saraan terendah menerusi Bayaran Gaji dan Elaun Tetap Bulanan Ahli Dewan.
“Hal ini menunjukkan bahawa 10 DUN di Malaysia telah pun menaikkan kadar bayaran saraan baharu untuk Ahli-Ahli Yang Berhormat masing-masing.
“Justeru, kerajaan negeri mempertimbangkan cadangan untuk menaikkan Gaji dan Elaun Tetap Bulanan Ahli Dewan menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 1 Nov lepas yang bersetuju meluluskan kadar saraan baharu bagi ADUN,” katanya ketika membentangkan usul berkenaan pada sidang DUN Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.
Ab Rauf berkata kedua-dua jawatan Speaker itu juga diberikan Elaun Ahli Dewan sebanyak RM12,000 berbanding RM9,000 ketika ini.
Dalam usul sama, turut dikemukakan ialah pindaan terhadap Seksyen 4A untuk menaikkan saraan bagi Timbalan Speaker daripada RM3,000 kepada RM4,000 selain Seksyen 6(1)(a) bagi menaikkan saraan Anggota Pentadbiran bagi Ketua Menteri kepada RM18,000 berbanding RM15,000 ketika ini.
Hal itu juga melibatkan pindaan terhadap Seksyen 6(1)(b) untuk menaikkan saraan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) daripada RM7,000 kepada RM8,000.
“Di samping itu, saya dengan sukacita juga mengumumkan bahawa kenaikan saraan ini turut diberikan kepada 123 pesara ADUN yang berpencen sama ada mereka yang menerima pencen atau pencen terbitan.
“Semua pesara ini akan menerima kenaikan pencen mengikut perkiraan tahun perkhidmatan yang boleh dimasuk kira bagi penyelarasan bayaran pencen masing-masing,” katanya.
Ab Rauf berkata kenaikan saraan berpencen ini melibatkan tambahan peruntukan berjumlah RM3,470.333.28 setahun dengan menggunakan peruntukan di bawah B02 Dewan Undangan Negeri, T02 Peruntukan Speaker Dewan Undangan Negeri dan T04 Pampasan dan Ganjaran, DUN Melaka dan B03 Jabatan Ketua Menteri.
Katanya, dengan kadar baharu ini, kerajaan negeri berharap ia dapat memastikan kebajikan ADUN terpelihara di samping membantu membiayai kos kehidupan mereka selepas bersara.
Usul berkenaan kemudiannya disokong oleh Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan dibahaskan Ketua Pembangkang DUN Melaka Dr Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bemban) dan Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-Rim).
Usul kemudiannya disokong 26 ADUN termasuk dua wakil pembangkang, manakala dua ADUN tidak hadir persidangan.
BACA: Usia Kehamilan Lebih Awal Dari Tarikh Nikah? Kemungkinan Bunting Pelamin, Ini Maksudnya
Sumber: Bernama