Junior Skills Malaysia 2023: Budak 12 Tahun Tewaskan 9 Pencabar Sekolah Menengah & Kolej Vokasional
Seorang pelajar berusia 12 tahun dari Sekolah Kebangsaan Undang Jelebu, Negeri Sembilan dinobat sebagai juara dalam pertandingan ‘Junior Skills Malaysia 2023’.
Memetik Sinar Harian, pelajar bernama Nur Saif Ammar Noor Soudiqqin itu berjaya menewaskan sembilan pencabar dari sekolah menengah dan kolej vokasional dalam bidang ‘Electrical Installations’.
Saif Ammar merangkul pingat emas dalam pertandingan akhir dan berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000 yang diberi menerusi Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir Jumaat lalu.
Majlis anjuran Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia itu yang diadakan di Shah Alam Convention Centre itu turut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mula minat elektrik sejak prasekolah
Difahamkan, anak kedua pasangan Noor Soudiqqin Ismail dan Nor Azireen Tumiran itu dikatakan mula berminat dalam bidang elektrik sejak di prasekolah lagi.
Disebabkan minat itu, bakat Nur Saif Ammar kemudiannya digilap mengikut perkembangan usianya sehingga akhirnya mampu bersaing dengan pelajar sekolah menengah.
Menurut Noor Soudiqqin yang merupakan pensyarah Teknologi Elektrik di Kolej Komuniti Jelebu, anaknya itu mula menunjukkan minat selepas sering mengikutinya melatih pelajar-pelajar dalam pertandingan.
Selain itu, Nur Saif Ammar juga kerap dibawa dan mengikutinya dalam melakukan kerja-kerja pendawaian elektrik.
“Ammar sebenarnya bercita-cita menjadi seorang juruterbang, namun dia sentiasa menunjukkan minat dalam bidang elektrik.
“Justeru, saya menggunakan pengalaman selama 15 tahun sebagai pensyarah untuk menjadi jurulatihnya dan memberi pendedahan dengan menyertai pertandingan peringkat tertinggi untuk mengasah bakatnya.
“Alhamdulillah, penyertaan kali kedua ini membuahkan hasil dan kami sekeluarga sangat bersyukur atas kejayaan ini.
“Sebagai bapa, saya sentiasa menyokong apa jua cita-cita anak-anak saya, namun saya sering menekankan bahawa ilmu kemahiran ini penting untuk kehidupan di masa hadapan,” ujarnya.
Menyimpan hasrat untuk sertai pertandingan peringkat antarabangsa
Tambah Noor Soudiqqin, anak lelakinya itu pernah menyimpan hasrat untuk menyertai pertandingan World Skills Asia di Abu Dhabi.
Bagaimanapun pertandingan yang bermula dari 27 hingga 29 November itu akhirnya terpaksa dilupakan akibat menghadapi beberapa kekangan.
Walau demikian, semangat si cilik itu masih belum luntur dan berharap agar diberi peluang untuk mewakili Malaysia dalam pertandingan tersebut.
Ia terutamanya dalam pertandingan World Skills Competition di Lyon, Perancis pada 2024 depan.
Untuk maklumat, Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri merupakan anugerah tertinggi dalam satu pertandingan kemahiran di peringkat kebangsaan.
Pertandingan yang diperkenalkan pada tahun 1991 itu bertujuan untuk mengiktiraf individu yang cemerlang dalam bidang kemahiran atau pendidikan vokasional dan teknikal (TVET).
BACA: Proton Pakistan Promo Saga, Rakyat Malaysia Tolong “Support” Dekat Komen
Sumber: Sinar Harian