Siakap Keli
Jenayah Indeks Di KL Turun 10 Peratus - Allauden
Kredit: Bernama

Jenayah Indeks Di KL Turun 10 Peratus – Allauden

Jenayah Indeks Di KL Turun 10 Peratus – Allauden

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) –– Statistik jenayah indeks di ibu negara, Kuala Lumpur (KL) bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Okt tahun ini menunjukkan penurunan 10 peratus atau 410 kes berbanding 4,173 kes bagi tempoh sama, tahun lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata jenayah kekerasan mencatat penurunan sebanyak 14 peratus iaitu bersamaan 122 kes setakat Oktober tahun ini berbanding 895 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

“Begitu juga dengan jenayah harta benda yang turut mencatatkan penurunan sebanyak 288 kes (sembilan peratus) pada tahun ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik telah merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM101 juta sepanjang tempoh Januari hingga Oktober tahun ini berbanding RM122 juta bagi tahun lepas.

“Statistik perbandingan tangkapan bagi Januari hingga September tahun ini menunjukkan peningkatan seramai 481 orang kepada 12,199 orang berbanding 11,718 orang pada 2022,” katanya.

Dalam pada itu, Allaudeen berkata pembanterasan jenayah komersial terus menunjukkan kejayaan dengan 1,439 serbuan dilakukan membabitkan jenayah dalam talian manakala 83 kertas siasatan dibuka melibatkan tangkapan pusat panggilan dengan tangkapan seramai 1,023 orang bagi tempoh Januari hingga Oktober lepas.

Bagi Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Allaudeen berkata jabatan itu telah membuka sebanyak 57,437 kes manakala pertuduhan kertas siasatan semasa mencapai 98.75 peratus.

Untuk memastikan kelancaran aliran trafik pada waktu kemuncak di ibu negara, beliau berkata seramai 170 pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis dari JSPT Kuala Lumpur ditugaskan dalam memantau kesesakan trafik di ibu kota.

“Penugasan pegawai dan anggota JSPT juga merangkumi penugasan mengiringi orang kenamaan, bahan letupan, kertas-kertas peperiksaan sekolah dan wang dalam jumlah yang besar…ia merupakan salah satu cabaran dalam penugasan mereka,” katanya.

BACA: Ingat Lagu Galau, Vokalis D’Masiv Dedah ‘Rindu Setengah Mati’ Sebenarnya Lagu Ketuhanan

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma