Boleh “Scan” QR Je, Ini Sebab Kenapa eMADANI Tak Boleh Tebus Tunai
Hari ini, kira-kira 10 juta rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas telah mendapat manfaat tawaran kredit eMADANI bernilai RM100 yang boleh ditebus melalui penyedia perkhidmatan e-dompet yang terpilih.
Tidak dinafikan pemberian bantuan berbentuk wang itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban rakyat dalam memenuhi keperluan harian.
Mungkin ramai yang tidak tahu, program eMADANI merupakan salah satu inisiatif kerajaan yang telah diumumkan di bawah kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat.
Selaras dengan pemodenan negara, eMADANI dilaksanakan kerana mahu menggalakkan pembayaran tanpa tunai (cashless) yang semakin digunakan, memangkin pendapatan perusahaan mikro kecil sederhana (PMKS) dan paling penting mahu memberi manfaat kepada rakyat.
Selain mendapat kredit bernilai RM100, rakyat pada yang sama juga dapat menikmati inisiatif yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan e-dompet dalam bentuk baucar, pulangan tunai (cashback), diskaun, mata ganjaran (reward points) dan juga coins.
Selesai menebus mesti rasa tidak sabar untuk memanfaatkan kredit tersebut dan rata-rata masyarakat berhasrat untuk membuat penebusan secara tunai.
BACA: Ini Cara ‘Claim’ eMADANI RM100 Di Shopee Untuk Dapat Baucar Ekstra RM600
Kenapa tak dibenarkan tebus secara tunai?

Tahu tak, untuk tawaran kredit eMADANI RM100 oleh kerajaan, rakyat tidak boleh menebusnya secara tunai.
Bukan sahaja penebusan secara tunai yang tidak dibenarkan malah pemindahan rakan ke rakan juga tidak dibolehkan.
Mesti tertanya-tanya kenapa kerajaan berbuat demikian kan? Hal ini kerana program eMADANI adalah bertujuan untuk menggalakkan ekonomi digital dan memupuk budaya pembayaran tanpa tunai.
Disebabkan itu, kredit eMADANI tersebut hanya boleh digunakan untuk pembelian secara fizikal melalui e-dompet yang terlibat atau QR DuitNow.
Imbas QR dan nikmati pembelian anda

Secara ringkasnya, orang awam boleh gunakan kredit eMADANI tersebut di premis yang menawarkan perkhidmatan e-dompet, sebagai contoh, membayar makanan di kedai menggunakan imbas QR yang ditebus melalui MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet.
Jadi sekiranya ditebus secara tunai, maka tujuan asal eMADANI mungkin tidak boleh dicapai iaitu meningkatkan transaksi tanpa tunai (cashless transaction).
Kalau lihat sekarang ramai yang menawarkan perkhidmatan pemindahan rakan ke rakan atau penebusan tunai.
Perkara tersebut adalah dilarang sama sekali untuk dilakukan dan jika terdapat laporan bagi mana-mana kes yang melibatkan perkara tersebut, kerajaan akan mengambil langkah untuk menyekat akaun yang terlibat dan melucut hak kredit mereka.
Rakyat juga perlu tahu, selain daripada penebusan tunai terdapat beberapa perkara yang tidak boleh dilakukan dengan kredit eMADANI.
Antaranya ialah:
a. Pemindahan ‘peer–to–peer’
b. Penebusan tunai
c. Bayaran bil utiliti terintegrasi dengan aplikasi e-dompet
d. Bayaran fi berkaitan Kerajaan terintegrasi dengan aplikasi e-dompet
e. Bil pascabayar telekomunikasi dan prabayar terintegrasi dengan aplikasi e-dompet
f. Pembelian permainan (games) terintegrasi dengan aplikasi e-dompet
g. Bayaran tempat letak kereta dan/atau tol
h. Aktiviti berkaitan pelaburan terintegrasi dengan aplikasi e-dompet dan
i. Transaksi e-dagang atau transaksi dalam talian.
Korang tak perlu risau kerana banyak sahaja cara untuk gunakan kredit eMADANI bergantung kepada e-dompet yang ditebus. Semoga bermanfaat!
Sumber: Kementerian Kewangan