Jangan Jadi Mangsa Penipuan Perkhidmatan Penebusan Tunai Kredit eMADANI – MOF
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan di laman X mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan penipuan tawaran perkhidmatan penebusan tunai kredit eMADANI. Menurut MOF, pihak MOF tidak akan bertanggungjawab jika terdapat sebarang kehilangan kredit akibat daripada pemindahan ‘peer-to-peer’ atau penebusan tunai.
MOF juga akan mengambil langkah tegas termasuk menyekat akaun individu yang terlibat. Ia termasuk melucutkan hak kredit penerima eMADANI jika terdapat laporan bagi mana-mana kes yang melibatkan pemindahan ‘peer-to-peer’ atau penebusan tunai.
Tujuan utama eMADANI ini diluncurkan untuk menggalakkan ekonomi digital dan memupuk budaya tanpa tunai dalam kalangan masyarakat. Sebab itu juga, penebusan tunai atau pemindahan ‘peer-to-peer’ tidak dibenarkan sama sekali.
Kredit eMADANI boleh digunakan ketika pembelian secara fizikal melalui e-dompet yang terlibat di 1.8 juta peruncit dan perniagaan di seluruh negara. Pendaftaran eMADANI mula dibuka hari ini (4 Disember 2023) sehingga 20 Februari 2024.
Bermula jam 8 pagi tadi orang ramai sudah mula membuat penebusan kredit eMADANI di aplikasi MAE, Shopee, Setel dan TnG eWallet. Inisiatif ini bakal memanfaatkan kira-kira 10 juta rakyat dewasa meliputi golongan B40 dan M40.
Kredit RM100 ini tidak dibenarkan untuk ditukar kepada tunai, tidak boleh digunakan di mana-mana platform e-dagang, tidak boleh membayar bil utiliti, bil pascabayar mahupun prabayar. Juga tidak boleh bayar parkir atau tol. hanya boleh digunakan di kedai fizikal melalui imbas kod QR pada mana-mana e-dompet yang terlibat atau imbas DuitNow QR.
SIARAN MEDIA BERKENAAN ELAK JADI MANGSA PENIPUAN 'SCAMMER' YANG MENAWARKAN PERKHIDMATAN 'CASH-OUT' BAGI KREDIT eMADANI pic.twitter.com/gbOeXFr1sJ
— Ministry of Finance🇲🇾 (@MOFmalaysia) December 4, 2023
Sumber: MOF