Siakap Keli
Jojo Ghazali 36 saat
Kredit X/ONE Championship

Kena Tumbukan Padu Jojo Ghazali, Edgar Tabares Tumbang Dalam 36 Saat

Kena Tumbukan Padu Jojo Ghazali, Edgar Tabares Tumbang Dalam 36 Saat

Nama Johan Ghazali sekali lagi meniti di bibir peminat sukan tinju Muay Thai selepas dia berjaya menewaskan lawannya dari Mexico, Edgar Tabares dalam acara ONE Fight Night.

Johan Ghazali atau lebih dikenali sebagai Jojo berjaya menumpaskan lawannya dengan tumbukan padu dalam tempoh hanya 36 saat sahaja di dalam gelanggang.

Dalam pertarungan singkat itu, Jojo berjaya mendaratkan beberapa tumbukan padu ke arah Edgar Tabares, 29. Tumbukan-tumbukan itu mengenai muka dan bahagian rusuk kanan Edgar.

Susulan terkena tumbukan itu, Edgar kemudiannya tidak dapat meneruskan lagi pertarungan sekaligus memberikan kemenangan secara knockout kepada Jojo.

Lebih manis, ini merupakan perlawanan sulung buat Jojo dalam aksi Primetime US. Manakala Edgar yang ditewaskannya bukan calang-calang petarung kerana beliau merupakan juara Muay Thai Antarabangsa WBC.

Terdahulu, anak muda berusia 17 tahun itu mula menjadi sensasi baru dalam gelanggang muaythai selepas berjaya menewaskan beberapa petarung lebih berpengalaman.

Susulan kemenangan yang diraih dalam ONE Friday Fights 36, beliau kemudian ditawarkan kontrak ONE Championship bernilai USD 100,000 daripada ONE Championship.

Dengan kejayaan itu, Jojo menjadi petarung termuda yang berjaya mendapatkan kontrak ONE Championship.

Menurut laman web ONE Championship, Jojo Ghazali merupakan petinju Muaythai Malaysia/Amerika yang mewakili kelab Rentap Muaythai Gym dari Sarawak.

Beliau mempunyai darah campuran melalui ayahnya, warga Malaysia dan ibunya yang berasal dari Amerika Syarikat. Jojo dilahirkan di Sarawak dan menghabiskan usia muda serta bersekolah di negeri itu.

Beliau memiliki rekod bersih kemenangan 4-0 sepanjang karier profesionalnya, tidak termasuk perlawanan sebentar tadi. Selain Edgar, lawan-lawan lain yang pernah ditumbangkan oleh Jojo sebelum ini adalah Bekmurzaev, Samurai Seopal , Tai Sor Jor Piek Uthai dan Padetsuk Fairtex.

Dalam empat perlawanan tersebut, tiga daripadanya dimenangi Jojo secara knock out.

Di media sosial pula, kejayaan Jojo itu ternyata disambut gembira oleh para peminatnya, khususnya menerusi perkongsian di laman TikTok.

Rata-rata mengucapkan tahniah kepada Jojo dan mengagumi pencapaian hebat yang diraihnya setakat ini dalam sukan berkenaan.

Semoga Jojo terus melakar kejayaan dan membanggakan negara di mata dunia dengan pencapaian terhebatnya.

BACA: Tak Termakan Provokasi Lawan, Pukulan K.O Jojo Sekali Lagi Curi Tumpuan

Sumber: X/ONE Championship

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka