Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Hujan Lebat, Operasi Sedut Air Di Lokasi Penemuan Mayat Zayn Rayyan Ditangguh

Iqbal Yasir
Sedut air Zayn Rayyan
Gambar: Astro Awani

Hujan Lebat, Operasi Sedut Air Di Lokasi Penemuan Mayat Zayn Rayyan Ditangguh

PETALING JAYA — Operasi menyedut air di anak sungai berhampiran lokasi penemuan mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin terpaksa ditangguhkan berikutan hujan lebat hari ini.

Memetik Astro Awani, kira-kira pada jam 2.30 petang, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Sungai Buloh didapati meninggalkan tempat tersebut.

Turut kelihatan alat mengepam air yang dipercayai digunakan dalam misi berkenaan dibawa bersama anggota.

Difahamkan, operasi menyedut air itu merupakan salah satu usaha dalam mencari bukti baharu bagi mengesan pembunuh Zayn Rayyan yang memasuki hari keenam siasatan.

Sekitar jam 11.45 pagi tadi, Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan tiba bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam misi tersebut di Apartmen Idaman, Damansara Damai.

Sebelum ini, kanak-kanak berusia enam tahun itu dilaporkan hilang pada tengah hari Selasa sebelum dijumpai meninggal dunia.

Mayat mangsa ditemukan di dalam aliran sungai sehari kemudian iaitu kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Kes tersebut kemudiannya dikategorikan sebagai kes bunuh selepas hasil bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak terbabit.

JPS Turun Padang Bantu Dalam Operasi Ini

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan JPS turut sama membantu Unit Forensik PDRM dalam operasi tersebut pada tengah hari tadi.

Beberapa kakitangan JPS turut kelihatan di kawasan berkenaan sebelum operasi mengepam air dilakukan.

Bagaimanapun, pengamal media yang berada di situ tidak dibenarkan menghampiri lokasi berkenaan.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mendedahkan bahawa hanya seorang individu yang disyaki terlibat dalam pembunuhan ini.

Tambahnya, terdapat kesan jerutan dan pergelutan berdasarkan petunjuk yang ditemukan pada tubuh mangsa.

Susulan itu, beberapa rakaman video kamera papan pemuka juga diambil daripada pemilik kenderaan yang merupakan penghuni Apartmen Idaman. Rakaman itu diambil untuk pihak polis membuat penelitian dalam membantu siasatan tersebut.

BACA JUGA: Henti Komen Kes Kematian Zayn Rayyan – Polis Selangor

Sumber: Astro Awani