Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Kes Bunuh Zayn Rayyan: Rakaman Video Kamera Kenderaan Perlu Penelitian Lanjut – Polis

Nurhanis
kes zayn rakaman video
Kredit: BERNAMA

Kes Bunuh Zayn Rayyan: Rakaman Video Kamera Kenderaan Perlu Penelitian Lanjut – Polis

PETALING JAYA, 12 Dis (Bernama) — Polis perlu membuat penelitian lebih lanjut terhadap rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) yang diperoleh dari kenderaan penghuni Apartmen Idaman, Damansara Damai dalam siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata berdasarkan penelitian rakaman tersebut, polis mendapati terdapat pergerakan yang memerlukan analisis lebih lanjut.

“Memang ada pergerakan tetapi kena perbaiki (mutu) video itu sama ada individu (suspek atau penduduk) atau objek lain. Setakat ini, kami tidak boleh mendedahkan apa-apa lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengenai proses siasatan yang memasuki hari keenam hari ini, beliau berkata polis mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor bagi membantu menyedut keluar takungan air di lokasi penemuan mangsa.

Hussein berkata ia bagi melihat sama ada wujud sebarang bukti baharu, tetapi setakat ini tiada penemuan baharu diperoleh.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu dilaporkan hilang pada 5 Dis lepas di Damansara Damai sebelum ditemukan meninggal dunia di dalam aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman, pada keesokannya.

Sumber: BERNAMA

BACA JUGA: Hujan Lebat, Operasi Sedut Air Di Lokasi Penemuan Mayat Zayn Rayyan Ditangguh