Siakap Keli
Ibu mohon sumbangan
Kredit Facebook/Natipah Abu

Hidup Berubah Sekelip Mata, Ibu Mohon Sumbangan Untuk Rawatan Anak Yang Hidap Kanser Darah

Hidup Berubah Sekelip Mata, Ibu Mohon Sumbangan Untuk Rawatan Anak Yang Hidap Kanser Darah

Tidak semua manusia yang hidup di atas muka bumi ini bernasib baik. Setiap orang mempunyai ujian yang berbeza, ada yang diuji dengan masalah kesihatan dan ada pula yang diuji dengan masalah kewangan dan sebagainya.

Seperti seorang ibu ini yang kebuntuan mengenangkan nasib anaknya yang menghidap kanser darah.

Menerusi kisah yang dikongsikan oleh aktivis masyarakat, Natipah Abu di Facebook, wanita yang dikenali sebagai Puan Hanizam, 49, menceritakan kisah hidupnya bersama suami dan anak-anak, selain memohon bantuan.

Menurut perkongsian itu, Puan Hanizam sedang berdepan dengan masalah kewangan yang membabitkan proses rawatan anak lelakinya yang menghidap kanser darah atau Leukemia ALL.

Berkongsi tentang sejarah awal kehidupan beliau, Puan Hanizam berkata bahawa dia telah mendirikan rumah tangga selama 23 tahun dan dikurniakan sepasang cahaya mata.

Keluarga itu hanya mengharapkan sumber pendapatan dari suaminya iaitu Abdul Latif Hat, 59, yang bekerja sebagai nelayan dan kerja-kerja kampung.

Selain itu, beliau juga menjalankan perniagaan kecil-kecilan dengan menjual kuih-muih serta nasi lemak dan dibantu oleh anak lelaki yang sulung berusia 22 tahun.

“Saya dan suami berkahwin 23 tahun yang lalu atas dasar suka sama suka. Suami tidak bekerja tetap hanya seorang nelayan. Kalau tidak turun ke laut, suami akan buat kerja-kerja kampung yang lain.

“Kami ada dua orang anak, yang sulung lelaki ( 22 tahun) dan yang bongsu perempuan (15 tahun). Tak ada rezeki dalam pelajaran, sebaik tamat SPM, anak lelaki saya Muhammad Najmuddin membantu saya berniaga kuih muih dan nasi lemak tidak jauh dari rumah,” katanya.

Namun begitu, menurut perkongsian itu lagi, segalanya berubah pada tahun 2020 selepas Muhammad Najmuddin terlibat dalam kemalangan.

“Najmuddin seorang anak yang rajin dan dengan bantuannya, memang terasa ringan sungguh urusan mencari rezeki kami. Pada usia 20 tahun, Najmuddin ditimpa kemalangan semasa balik dari berniaga. Motosikalnya dirempuh oleh sebuah kereta. Alhamdulillah masih panjang umur Najmuddin walau cederanya parah.

“Berbulan-bulan juga beliau terlantar di rumah tanpa mampu mengurus diri. Sembuh dari sakit kemalangan, saya sangat bersyukur kerana dia kembali membantu saya berniaga semula.

“Oktober 2020, kebahagiaan yang saya rasa itu rupanya tidak lama. Kami sekali lagi diuji bila Najmuddin jatuh sakit semula. Dia demam selama beberapa minggu tanpa ada tanda-tanda hendak sembuh walaupun diberi ubat demam dan antibiotik.

“Malahan keadaannya semakin lemah sehingga hendak memegang cawan untuk minum pun, dia tidak berdaya. Tubuhnya ibarat sehelai kain buruk. Akhirnya, hasil ujian darah, doktor mengesahkan Najmuddin mengidap kanser darah, leukemia ALL.

“Terduduklah dan hancur luluh hati saya. Anak yang selama ini saya timang-timang sebagai harapan masa depan itu, kini terpaksa berjuang di medan derita,” tambah perkongsian itu lagi. 

Sejak Najmuddin didiagnos dengan penyakit itu, keluarga Puan Hanizam telah berdepan dengan masalah kewangan yang teruk.

Menetap di Pulau Langkawi seakan menyukarkan lagi keadaan, di mana Najmuddin perlu dibawa ke tanah besar untuk tujuan rawatan dan kemoterapi.

“Harapan saya untuk melihat Najmuddin sembuh tak pernah padam. Dalam masa terdekat, kami akan membawa adiknya Nur Aisyah, ke Kuala Lumpur untuk menjalani ujian darah.

“Jika sepadan, adik yang berusia 15 tahun itu akan menderma sum-sum
tulangnya demi menyelamatkan nyawa abang yang dikasihinya.

“Sebagai nelayan, berapalah sangat pendapatan suami saya. Jadi saya buang rasa malu demi anak dan meminta sumbangan semua penderma di sini. Hanya itulah satu-satunya harapan yang masih ada,” katanya.

Justeru, perkongsian yang dibuat oleh Puan Hanizam kepada Natipah itu bertujuan untuk meminta sumbangan orang ramai bagi meringankan bebannya.

Oleh itu, pada hari Jumaat yang penuh dengan limpahan barakah daripada Allah S.W.T, anda boleh menyalurkan sedikit bantuan kepadanya menerusi:

SUMBANGAN JARIAH QASEH – 552107634719 (Maybank)

Sekecil nilai bantuan yang disalurkan dapat memberikan kelapangan kepada saudara kita yang memerlukan untuk melengkapkan keperluan asas dalam kehidupan.

BACA: Selalu Ditanya “Asal Lahir Di Negeri Mana?”, Ini Respon Jojo Ghazali

Sumber: Facebook/Natipah Abu

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka