Rawatan kanser bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan fizikal seseorang, malah turut membawa perubahan terhadap penampilan diri.
Antaranya termasuk keguguran rambut akibat kesan rawatan kemoterapi. Keadaan itu boleh menjadi satu pengalaman sukar untuk dilalui oleh pesakit.
Bagi sesetengah individu, pemakaian rambut palsu menjadi pilihan untuk menutup keguguran rambut. Namun, ada juga yang memilih alternatif lain mengikut keselesaan masing-masing.
Wanita bukan Islam tanya jika boleh pakai hijab
Begitulah yang dialami oleh seorang wanita dari Alabama, Amerika Syarikat, Jacey Abbott, yang mengakui pemakaian rambut palsu membuatkan kepalanya berasa panas dan gatal.
Jacey yang menghidap kanser tahap akhir kemudian tertarik untuk cuba memakai hijab selepas mendapati ia lebih selesa berbanding rambut palsu.
Bagaimanapun, memandangkan dirinya bukan seorang Muslim, dia terlebih dahulu mendapatkan pandangan orang ramai menerusi Threads sama ada pemakaian hijab boleh dianggap sebagai sesuatu yang tidak menghormati agama atau budaya orang lain.
“Bolehkah saya memakai hijab atau adakah perbuatan itu dianggap tidak menghormati agama atau budaya orang lain?
“Saya menghidap kanser tahap akhir dan memakai rambut palsu membuatkan kepala saya terasa sangat panas serta gatal.
“Saya telah membeli sehelai tudung untuk mencubanya dan ternyata ia sangat selesa. Namun, saya tidak mahu memakainya di tempat awam sekiranya perbuatan itu dianggap tidak sesuai atau boleh menyinggung perasaan orang lain,” tulisnya.

Pertanyaan tersebut kemudian menarik perhatian ramai, khususnya dalam kalangan pengguna Muslim yang memberikan kata-kata sokongan dan meyakinkannya bahawa dia boleh memakai tudung tanpa perlu berasa bimbang.





Beberapa hari kemudian, Jacey memuat naik gambar dirinya memakai tudung, sekali gus menerima perhatian pengguna media sosial.
Ramai yang memuji penampilannya, malah ada yang turut mencadangkan pelbagai jenis tudung yang biasa dipakai oleh wanita Muslim untuk dicubanya.
Dalam masa sama, tidak kurang juga yang menitipkan doa serta kata-kata semangat buat Jacey agar terus tabah menghadapi keadaan kesihatannya.
“Adakah itu tudung jenis chiffon? Susah sebenarnya nak pakai tudung jenis ni sebab kainnya licin. Tudung itu memang cantik dan sangat sepadan dengan warna kulit serta mata awak. Tapi sebenarnya ada banyak lagi jenis fabrik yang lebih mudah dipakai. Cubalah tudung gaya Kuwait. Kainnya sangat lembut, ringan, selesa dan tak perlu menggunakan pin,” kata salah seorang netizen.
Menerusi satu lagi hantaran yang lain, Jacey dilihat turut cuba memakai pakaian seperti abaya dan jubah.


