Kenali Telinga “Cauliflower”, Yang Selalu Berlaku Pada “Fighter”
Pernah dengar tak amaran yang berbentuk:
‘Jangan main-main dengan orang yang mempunyai telinga kubis bunga’
Amaran tersebut diberikan untuk memberi peringatan bahawa mereka yang mempunyai telinga kubis bunga (cauliflower) adalah seorang yang mahir dalam berlawan.
Itu adalah salah satu petunjuk yang memaparkan individu tersebut sangat pandai berlawan sama ada di dalam atau di luar gelanggang.
Jadi lepas ini, kalau jumpa dengan orang yang mempunyai telinga sedemikian bolehlah dielakkan untuk ajak berlawan, takut nanti lunyai pula dibuatnya.
Tetapi mesti korang terfikir macam mana sebenarnya telinga cauliflower ini terjadi?
Kalau nak tahu, ia adalah sejenis kecacatan yang sangat biasa dalam kalangan pengamal seni bela diri campuran (MMA) dan pejuang yang bersaing dalam seni mempertahankan diri serta atlet ragbi yang telinganya kerap cedera.
Jika dilihat dengan mata kasar, pasti terlintas di fikiran bahawa telinga itu memberi risiko pada kesihatan, tetapi apa yang anda tak tahu sebenarnya ia boleh sembuh dengan cepat jika mendapatkan rawatan pada tepat masanya.
Bagaimanapun, jika tidak dirawat maka ia boleh menyebabkan kecacatan telinga yang teruk dan kekal.
Anda perlu tahu juga tidak semua pejuang MMA mempunyai telinga cauliflower dan jika menyertai MMA tidak bermakna telinga anda akan mengubah bentuk.
Hal ini boleh dielakkan jika anda memakai pelindung kepala yang dapat mengurangkan kecacatan telinga.
Kenapa kebanyakan pejuang MMA ada telinga cauliflower?
Punca utama berlakunya telinga cauliflower ini terjadi adalah disebabkan oleh pukulan dan hentakan akibat daripada bergelut bersama pihak lawan ketika berada dalam gelanggang.

Bagi mereka yang menceburi bidang tersebut, mudah sebenarnya untuk dapatkan telinga cauliflower. Penyebab utama adalah kerana telinga mereka kerap terkena pukulan dan geseran yang sangat kuat.
Disebabkan itu, segumpal darah kecil mula terkumpul setiap kali pukulan kuat hinggap di telinga. Ia terbentuk di antara tisu penghubung telinga dan tulang rawan.
Gumpalan tersebut akan menghentikan aliran darah ke rawan yang merosakkan tisu dan menyebabkan ia mati. Apabila tisu itu mati, telinga itu mula sembuh dengan sendirinya dan membentuk tisu yang lebih keras menghasilkan telinga yang kelihatan seperti cauliflower.
Tanda-tanda awal yang menunjukkan individu itu mungkin terkena telinga cauliflower adalah telinga akan menjadi bengkak dan dalamannya juga akan merah atau lebam disebabkan aliran darah tersekat.
BACA: Telinga Budak Masih Sensitif, Mak Ayah Kena Cakna Kriteria Ini Sebelum Beli “Headphone” Untuk Anak
Pejuang MMA suka ke telinga cauliflower?
Kedengaran agak pelik tetapi pejuang MMA kalau boleh mahukan telinga cauliflower. Sesetengah daripada mereka sanggup berjuang habis-habisan untuk dapatkan telinga tersebut.
Boleh dikatakan ia telah menjadi satu trend buat mereka untuk dapatkan telinga cauliflower. Sesetengah mereka berpendapat telinga cauliflower membantu menunjukkan mereka ‘berkuasa’ di mata orang.

Seperti yang dikatakan di atas, mereka yang mempunyai telinga cauliflower ini sangat digeruni orang ramai kerana mempunyai aura dalam pertarungan bela diri.
Kemungkinan hal itu juga menyumbang mengapa kebanyakan mereka mahukan telinga tersebut untuk kekal, seperti salah seorang pejuang MMA terkenal iaitu bekas juara UFC Randy Couture dan Khabib Nurmagomedov.
Cara terbaik untuk cegah telinga cauliflower
Bagi mereka yang mahu mengelakkan untuk dapatkan telinga cauliflower, boleh pakai pelindung kepala atau penutup telinga semasa sesi latihan.
Pastikan pakai pelindung kepala atau penutup kepala yang mengikut saiz kerana jika pakai saiz yang lebih kecil maka ia juga akan menyumbang kepada perubahan bentuk telinga.
Pelindung kepala yang longgar pula mungkin akan tergelincir daripada tempatnya semasa latihan, menyebabkan telinga terdedah. Jadi daripada memakai pelindung kepala yang longgar atau terlalu ketat, dapatkan yang sesuai dengan saiz supaya selesa untuk memakainya.
Bagaimanapun, telinga cauliflower ini boleh menjadi kecacatan kekal sekiranya tidak mendapatkan rawatan yang tepat pada masanya. Jika bahagian telinga berasa panas dan sakit, cepat-cepat dapatkan rawatan atau letakkan ais di telinga.
Sumber: MMA Channel