Gunung Berapi Iceland, Amaran Pencemaran Pelepasan Gas
Pencemaran gas akan melanda ibu kota Iceland akibat letusan gunung berapi yang berlaku pada Isnin yang lalu, kata Pejabat Meteorologi Negara.
Letusan yang berlaku di Semenanjung Reykjanes, Iceland itu terjadi setelah beberapa minggu kawasan itu dilanda gempa bumi. Kejadian ini telah melepaskan gas ke udara dan ia akan tiba di Reykjavik sama ada pada petang Selasa ataupun pagi Rabu.
Seramai 4,000 orang telah dipindahkan dari pekan nelayan, Grindavik pada bulan lepas ancaman lava yang mengalir ke arah mereka.
Seorang penduduk yang tinggal berdekatan Grindavik menggambarkan kejadian itu sebagai sesuatu yang gila dan menakutkan. Katanya juga, dia masih boleh melihat letusan itu pada hari Selasa.
Selain itu, pihak BBC juga turut merasai getaran pada tanah akibat letusan gunung berapi itu. Bau asap dan abu juga boleh dihidu sejauh 30 kilometer daripada kawasan letusan itu berlaku.
Letusan Gunung Berapi Iceland
Sebelum ini, pada tahun 2010 terdapat letusan gunung berapi yang berlaku dan ia melepaskan asap yang tinggi ke atmosfera sehinggakan ia telah mengganggu perjalanan udara di Eropah pada waktu itu.
Tetapi, menurut volcanologist Dr Evgenia Ilyinskaya kepada BBC, letusan yang berlaku pada Isnin lalu tidak akan mencapai tahap letusan yang berlaku pada tahun 2010.
Ini kerana, gunung berapi yang berada di barat daya itu secara fizikalnya tidak dapat menghasilkan asap seperti letusan gunung berapi 2010.
Kata Profesor Madya Dr Evgenia Ilyinskaya dari Universiti Leeds, orang ramai menantikan letusan itu berlaku dalam ketakutan.
Dia juga menambah, pihak berkuasa telah membuat persediaan untuk sebarang aliran lava yang boleh merosakkan rumah dan infrakstuktur termasuklah Blue Lagoon yang merupakan tarikan pelancong yang terkenal.
“Setakat ini, keadaan tidak begitu memudaratkan, tetapi ia mungkin akan berubah,” katanya.
Met Office Iceland berkata pada Selasa bahawa kekuatan letusan itu semakin berkurang tetapi gas yang dilepaskan akan tetap menghala ke arah Reykjavik.
Menteri Luar Iceland, Bjarni Benediktsson berkata di X, bahawa “Tiada gangguan kepada penerbangan ke dan dari Iceland, dan koridor penerbangan antarabangsa tetap terbuka,”
Kenyataan Orang Ramai
Sejak penghujung Oktober yang lalu, Iceland telah bersedia untuk menghadapi letusan gunung berapi kerana wilayah di sekitar Reykjavik telah dilanda gempa bumi yang kerap berlaku sebelum letusan itu terjadi.
Pada Selasa, sepasang pelancong British, Amrits dan Peter, yang merupakan suami isteri berumur 20-an, telah mengambil selfie berlatar belakangkan lava yang terang menyala.
Kata Peter kepada BBC, “Kami tidak takut. Pihak berkuasa Iceland mengatasi kejadian ini dengan baik dan mereka sentiasa memberikan kami informasi. Kami rasa sangat selamat,”
Selain itu, seorang wanita bernama Aoalheiour Halldorsdottir yang tinggal di Sandgeroi, kira-kira 20 kilometer dari Grindavik berkata dia telah melihat letusan itu berlaku dari rumahnya.
“Ia memang mengejutkan apabila saya ternampak letusan itu berlaku dengan mata sendiri. Kami telah alami beberapa letusan sebelum ini, tetapi inilah pertama kali saya rasa sangat takut,” katanya.
Menurutnya, berlaku keadaan yang panik pada hari Isnin itu sehinggakan dia telah membeli bekalan air yang lebih. Tetapi, keadaan mula bertenang pada keesokan harinya.
Manakala Hans Vera yang telah dipindahkan dari Grindavik bulan lepas pula berharap agar dia dapat pulang ke rumah untuk sambutan Krismas.
Kata Hans Vera, “Saya tak rasa mereka akan benarkan kami mendekati Grindavik dalam masa yang terdekat ini. Jadi, kami kembali menunggu,”
Sumber: BBC
BACA JUGA: Letusan Gunung Berapi Iceland, Semenanjung ReykJanes