Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

LPPSA Perjelas Urusan Pelepasan Gadaian Atau Penyerahan Hak Selepas Pembiayaan Penuh Perumahan

Iqbal Yasir
LPPSA
Kredit; Bernama

LPPSA Perjelas Urusan Pelepasan Gadaian Atau Penyerahan Hak Selepas Pembiayaan Penuh Perumahan

Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) tampil memberikan penjelasan berhubung urusan pelepasan gadaian atau penyerahan hak selepas pembiayaan perumahan diselesaikan sepenuhnya.

Ia susulan terdapat beberapa salah faham berhubung hebahan berkenaan.

"Untuk makluman, urusan pelepasan gadaian atau penyerahan hak selepas penyelesaian penuh pembiayaan bukan merupakan polisi baharu LPPSA.

"Urusan ini telah lama diamalkan sebagai sebahagian daripada proses selepas pembiayaan selesai sepenuhnya.

"Tanggungjawab untuk menyempurnakan urusan pelepasan gadaian atau penyerahan hak sentiasa terletak kepada peminjam.

"LPPSA sentiasa memberikan nasihat dan advokasi kepada peminjam supaya urusan pelepasan gadaian atau penyerahan hak disempurnakan dengan baik bagi mengelakkan sebarang kesulitan pada masa hadapan.

"Justeru, LPPSA menggalakkan peminjam melantik peguam bagi menguruskan urusan tersebut sehingga selesai bagi membantu memastikan proses dan dokumentasi dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, lancar dan sempurna.

"Walau bagaimanapun, peminjam masih mempunyai pilihan untuk menguruskan sendiri urusan tersebut, tertakluk kepada pematuhan prosedur dan keperluan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan.

"Pemerhatian LPPSA mendapati terdapat peminjam yang tidak menyempurnakan urusan pelepasan gadaian walaupun pembiayaan telah selesai sepenuhnya. Keadaan ini boleh menimbulkan kesukaran pada masa hadapan, khususnya melibatkan urusan pewarisan, pembahagian pusaka, pindah milik atau urusan lain yang berkaitan dengan hak milik hartanah.

"Oleh itu, cadangan melantik peguam adalah demi melindungi kepentingan peminjam dan memastikan urusan pelepasan gadaian dapat disempurnakan dengan baik, dan bukannya bertujuan mewujudkan kewajipan baharu atau mengenakan kos tambahan kepada peminjam," maklum kenyataan itu.

Sehubungan itu, pihaknya kekal komited untuk menyediakan perkhidmatan yang telus, efisien dan mesra pelanggan serta akan terus membantu meningkatkan kesedaran peminjam mengenai kepentingan menyempurnakan urusan pelepasan gadaian atau penyerahan hak selepas pembiayaan selesai sepenuhnya.