Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pengasas RHB, TS Abdul Rashid Hussain Dilantik Sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji
Pengasas Kumpulan RHB, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dilantik sebagai Anggota Lembaga dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji yang baharu.
Pelantikan berkenaan berkuatkuasa bermula 20 Disember 2023, hari ini.
Perkara berkenaan dimaklumkan menerusi satu kenyataan media oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebentar tadi.
Menurut Dato’ Setia Dr. Mohd Naim bin Haji Mokhtar, pelantikan itu dibuat untuk terus memacu usaha pengukuhan Tabung Haji.
Selain menjadi pengasas Kumpulan RHB, iaitu antara perbankan terbesar di Malaysia, Tan Sri Abdul Rashid pernah menabur bakti dalam beberapa institusi kewangan di Malaysia bermula tahun 1990-an lagi.
“Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Khazanah Nasional Berhad dari tahun 1994 hingga 1998.
“Selain pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Putrajaya Holdings dari tahun 1995 hingga tahun 2000,” menurut Mohd Naim lagi.
Pengasas RHB itu turut menjadi antara enam individu yang dilantik oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di dalam Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) Tabung Haji.
Dalam pada itu, Abdul Rashid Hussain juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Lembaga Gabenor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Beliau turut dianugerahkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul SAW Peringkat Wilayah Persekutuan 1445H/2023M atas sumbangannya terhadap masyarakat.
Sehubungan itu, Mohd Naim berharap perlantikan ini dapat memberikan impak positif terhadap institusi Tabung Haji.
Pada akhir kenyataan, Mohd Naim turut memberikan penghargaan kepada pengerusi terdahulu, Tan Sri Azman Hj Mokhtar.
“Saya juga ingin merakamkan setinggi- tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Tan Sri Azman Hj Mokhtar atas segala jasa bakti dan perkhidmatan terbaik khasnya dalam memimpin Lembaga Pengarah TH dan secara amnya semua warga TH” katanya.
BACA: Kenali Daisugi, Kaedah Perhutanan Yang Mapan Di Jepun
Sumber: @DSDrNaim via X