Siakap Keli

Percuma Je, Sekolah Boleh Guna Stadium Bukit Jalil Untuk Anjur Hari Sukan

Sukan Sekolah sememangnya sudah menjadi acara tahunan sejak dahulu lagi. Antara objektif utama sukan sekolah mesti dianjurkan adalah untuk mencungkil bakat-bakat pelajar dalam bidang sukan untuk dibawa ke peringkat yang lebih tinggi. Bila sebut sukan sekolah mesti akan dijalankan di padang sekolah kan? Apa kata mulai tahun hadapan pihak sekolah di sekitar Lembah Klang buat di venue berkelas antarabangsa?

Tahu tak anda yang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) boleh digunakan untuk menganjurkan sukan sekolah? Ya betul, stadium yang menjadi ‘Rumah’ pasukan Harimau Malaya boleh anjur sukan sekolah anda. Tiada bayaran diperlukan, cuma pihak sekolah perlu memohon kepada Perbadanan Stadium Malaysia untuk menempah tarikh yang kosong. Bukan sahaja SNBJ, Kompleks Sukan Jalan Duta dan Bukit Kiara juga boleh digunakan oleh sekolah-sekolah berhampiran.

Ramai sebenarnya tak tahu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyediakan pelbagai inisiatif untuk belia. Jika anda dari kampung dan ingin mencari kerja di Kuala Lumpur, KBS ada menyediakan tempat penginapan sementara di Youth Capsule@IYC Residence dengan kadar RAHMAH hanya RM10 sehari. 

Youth Capsule ini dilengkapi dengan katil, pendingin hawa, wifi, kelengkapan dapur dan dobi layan diri. Kemudahan ini dibuka untuk golongan sasar 18 hingga 40 tahun. Untuk maklumat lanjut dan membuat permohonan boleh klik pautan ini IYC KL.

Lain-lain inisiatif dari KBS yang menyasarkan golongan B40, KBS menyediakan Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS) Renang. Ia menumpukan kanak-kanak dari keluarga B40 berumur 6 hingga 12 tahun dengan objektif mengurangkan kejadian lemas dalam kalangan kanak-kanak dan kelas kemahiran ini adalah percuma untuk kanak-kanak yang layak.

Selain itu, setiap persatuan sukan kebangsaan (PSK) perlu mempunyai tempat latihan tetap untuk berlatih. Jadi bagi menyokong semua PSK, KBS buat satu inisiatif 1Sukan 1Fasiliti untuk memperkasakan semua PSK agar meningkatkan kualiti pengurusan dan pembangunan tadbir urus yang lebih baik, teratur, sistematik dan bertaraf antarabangsa serta mengoptimumkan penggunaan fasiliti dan kemudahan sukan sedia ada. Tak kira fasiliti di bawah pengurusan kerajaan mahupun swasta.

KBS sentiasa mencari idea yang segar bagi memastikan pembangunan sukan dari peringkat akar umbi ke peringkat kebangsaan membangun dengan jayanya. Seterusnya, dapat membantu golongan belia untuk meningkatkan taraf hidup kepada yang lebih baik. Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan KBS juga bagi memastikan masa depan sukan negara lebih berdaya saing bagi mencapai matlamat, visi dan misi KBS itu sendiri. Untuk info-info terbaru dari KBS anda boleh mengikuti mereka di Facebook, Instagram, X dan TikTok.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)