Siakap Keli
sprm daim rasuah
Kredit: BERNAMA

SPRM Siasat Daim Atas Dakwaan Rasuah, Pengubahan Wang Haram

Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram ekoran penyitaan Menara Ilham baru-baru ini, lapor Sinar Harian.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Sinar Harian.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut namun memaklumkan notis sitaan yang dikeluarkan tidak menjejaskan operasi dan urusan bangunan berkenaan.

“Apabila kami menyiasat dakwaan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan harta tak alih, kami dibenarkan di bawah Akta SPRM menghantar permohonan sitaan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Itulah apa yang berlaku. Kami menggunakan kuasa diperuntukkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mengarahkan pejabat tanah meletakkan kaveat terhadap tanah berkenaan,” katanya.

Menurut Azam, SPRM telah melakukan proses yang sama sejak dari dahulu lagi semasa pihaknya melaksanakan proses siasatan dan memaklumkan sitaan yang baru dilakukan bukan satu-satunya kes yang dikendalikan SPRM.

Terdahulu, Siakap Keli melaporkan SPRM telah menyita bangunan Menara Ilham di Kuala Lumpur pada Isnin lepas dipercayai berkaitan kes penyelewengan dana negara berjumlah lebih RM2.3 bilion membabitkan seorang tokoh korporat dan bekas menteri kanan.

Sumber SPRM ketika menghubungi Bernama berkata bangunan itu, yang turut menempatkan pejabat tokoh korporat berkenaan, disita di bawah Akta SPRM 2009.

Penyitaan harta tak alih bertarikh 18 Dis 2023 itu disiarkan dalam ruangan notis pemberitahuan sebuah portal berita dalam talian pada Khamis.

Sumber: Sinar Harian

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana