Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang mengambil serius aduan waris berhubung dakwaan seorang guru melakukan kekerasan fizikal terhadap seorang murid berusia sembilan tahun di sebuah sekolah di daerah Barat Daya.
JPN Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, guru terbabit ditempatkan sementara di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sejurus aduan diterima bagi memastikan proses siasatan dapat dijalankan dengan teratur tanpa menjejaskan kebajikan murid serta persekitaran sekolah.
Menurut kenyataan itu, PPD kini menjalankan siasatan dengan mendapatkan keterangan daripada pihak berkaitan selain meneliti bukti serta dokumen sokongan.
“Pada masa yang sama, kebajikan dan kesejahteraan murid terus diberi keutamaan. Sokongan psikososial dan sesi kaunseling akan diberikan mengikut keperluan bagi membantu murid sepanjang tempoh ini,” menurut kenyataan itu.
Tambah JPN Pulau Pinang, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan murid.
Bagaimanapun, proses siasatan akan dilaksanakan secara adil berdasarkan fakta dan keterangan yang diperoleh.
“Tindakan selanjutnya akan ditentukan berdasarkan dapatan siasatan serta peraturan dan tatakelola yang berkuat kuasa,” katanya.

