Polis Mohon Kesan Saksi Mayat Lelaki Ditemukan Dalam Longkang
KUALA LUMPUR — Pihak polis dalam satu kenyataan hari ini memohon bantuan orang awam bagi menjejaki saksi kes mayat seorang lelaki yang ditemukan di dalam longkang di Jalan TSB 9, Kota Damansara, Petaling Jaya, lapor Astro Awani.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt M Hussin Sollehuddin Zolkifly, pada jam 6.34 petang pihaknya telah menerima maklumat berhubung kejadian daripada orang awam pada Rabu lalu.
“Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan ditemukan berpakaian lengkap di dalam longkang dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Identiti mangsa telah dijumpai di dalam poket seluarnya dan dikenal pasti berusia 45 tahun.
“Mangsa tinggal di kawasan Gugusan Kemuning, Jalan Pekaka 8/1, Seksyen 8, Kota Damansara dan dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Hussin Sollehuddin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Ketua Polis Balai Kota Damansara, Asp Mohd Nasir Mustapha di talian 011-32052062 bagi membantu siasatan.
“Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” maklumnya lagi.
BACA: Terbabas Masuk Dalam Masjid, Penunggang Motosikal Maut
Mayat Lelaki Tertiarap Dalam Longkang
Terdahulu, mayat seorang lelaki ditemukan tertiarap di dalam longkang di tepi Jalan Pajam-Nilai-Salak berdekatan Taman Semarak, Nilai pada 15 Ogos lalu, lapor Bernama.
Difahamkan, mayat lelaki berumur 27 tahun ditemui orang awam bersama sebuah motosikal jenis Yamaha SRE-K.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim selepas siasatan awal dilakukan.
Sumber: Astro Awani