Terbabas Masuk Dalam Masjid, Penunggang Motosikal Maut
KULIM — Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sehingga memasuki ruang solat sebuah masjid hari ini, lapor Astro Awani.
Difahamkan, mangsa dalam lingkungan 20-an dipercayai menunggang motosikal tersebut seorang diri dalam satu kejadian yang berlaku di Masjid Guar Lobak, Padang Serai pada jam 5.45 pagi Jumaat.
Bilal masjid tersebut yang juga saksi kejadian, Shukri Mohamad, memberitahu motosikal yang dibawa mangsa meluru masuk dengan laju sebelum melanggar tiang dalam masjid.
“Kejadian itu berlaku di depan mata… ketika itu saya baru sahaja sampai di masjid itu melakukan persiapan untuk melaungkan azan subuh.
“Secara tiba-tiba sebuah motosikal datang dengan laju dari arah Jalan Sidam Kanan dan terus memasuki ke dalam kawasan masjid.
“Motosikal yang ditunggangi seorang lelaki itu merempuh kolah masjid sebelum terbabas ke ruang solat.
“Mangsa terpelanting pada dua tiang di hadapan manakala motosikalnya pula terjatuh kira-kira tiga meter dari mangsa.
“Saya terus meluru ke arah mangsa dan ketika itu ternampak dia berlumuran darah. Saya sempat mengajar mangsa mengucap dua kalimah syahadah dan turut dibantu jemaah lain tiba tidak lama kemudian.
“Saya bersama beberapa jemaah lain kemudian menghubungi ambulans serta pihak polis,” jelasnya.
BACA : Penumpang Disaran Tiba Di KLIA Empat Jam Sebelum Berlepas – MAHB
Dua Penunggang Motosikal Maut Selepas Diseret Lori
Semalam, dua lelaki dilaporkan maut dalam nahas lima kenderaan membabitkan lori, treler, bas dan dua motosikal di Plaza Tol Tanjung Kupang dalam kejadian sekitar 5.50 pagi, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kedua-dua mangsa yang meninggal dunia berumur 49 tahun dan 54.
Difahamkan, nahas itu dipercayai berpunca akibat kegagalan brek sebuah lori. Susulan itu, lori berkenaan disyaki hilang kawalan sebelum bergesel dengan sebuah treler, bas dan dua motosikal di lorong kiri plaza tol berkenaan.
BACA JUGA: Tiga Benda Wajib Buat Bila Masuk Hutan, Jadi Petunjuk Jika Sesat
Sumber: Astro Awani