Siakap Keli
warga bangladesh pengerang
Kredit: SInar Harian

Ratusan Warga Bangladesh Berjalan Di Pengerang Ditahan, Bukan PATI – Polis

Ratusan Warga Bangladesh Berjalan Di Pengerang Ditahan, Bukan PATI – Polis

Baru-baru ini, tular di media sosial berkenaan satu video yang memaparkan warga asing berjalan beramai-ramai di Pengerang, lapor Sinar Harian.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora mengesahkan dalam kejadian pada Rabu lalu, kesemua warga Bangladesh terbabit telah ditahan dan mereka bukan pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana masuk melalui jalan yang sah.

Hussin berkata pihaknya menerima laporan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan telah menghantar sepasukan polis ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut.

“Ya benar, video yang tular itu merupakan kejadian baharu minggu lalu.

“Kejadian berlaku pada pagi Rabu lalu apabila ratusan warga asing Bangladesh telah dikesan berjalan kaki di kawasan hadapan simpang masuk, Teluk Ramunia Bayu Damai, Kota Tinggi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Hasil pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Hussin berkata warga Bangladesh yang ditahan seramai 171 adalah dalam lingkungan usia 19 hingga 43 tahun.

BACA: Mayat Dalam Kereta Lebih Lima Hari, Saksi Diminta Tampil – Polis

Mengulas lanjut, Hussin berkata penahanan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan telah dihantar ke Jabatan Imigresen Setia Tropika, Johor Bahru.

“Warga asing tersebut hendak ke Balai Polis Bayu Damai untuk membuat laporan polis kerana ejen pekerjaan tidak memberikan mereka pekerjaan.

“Mereka bukan PATI kerana mereka masuk melalui jalan yang sah melalui ejen-ejen pekerjaan. Dianggarkan sudah tiga hingga enam bulan mereka tidak dapat sebarang pekerjaan,” ujarnya.

Terdahulu, tular satu video menunjukkan seorang pengguna yang sedang memandu dikejutkan dengan ratusan warga asing yang sedang berjalan kaki dalam satu barisan di tepi jalan.

Video berdurasi satu minit 33 saat itu kemudiannya meraih perhatian orang ramai selepas rata-rata meluahkan rasa kebimbangan dengan kehadiran warga asing tersebut.

Sumber: Sinar Harian

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana