Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Hilux Hanyut Dibawa Arus Ketika Redah Banjir
Seorang pemandu Toyota Hilux berdepan detik cemas apabila pacuan empat roda yang dipandu olehnya hanyut dibawa arus ketika meredah banjir di Kalbok 5, Rantau Panjang di Pasir Mas, Kelantan.
Kejadian tersebut dikongsikan oleh Rantau Panjang Post di Facebook, di mana ia memaparkan kenderaan itu secara perlahan bergerak ke tepi.
Menerusi perkongsian tersebut, pada awalnya kenderaan tersebut berhasil meredah banjir dengan pergerakan kereta yang perlahan namun tidak lama selepas itu, ia mula hilang kawalan.
Situasi getir berkenaan membuatkan ramai panik dan rata-rata mereka yang menyaksikan kejadian itu dengan segera memberi penyelesaian iaitu keluar dari kenderaan tersebut.
Semakin lama kenderaan tersebut hilang dari pandangan dan mula ditenggelami air.
Difahamkan, pada ketika ini penduduk di Rantau Panjang dinasihatkan untuk menggunakan trak sahaja untuk melalui Kalbok 5 memandangkan kawasan tersebut dinaiki air.
Dalam pada itu, @Roadcare_Kelntn di platform X memaklumkan laluan Jalan Panglima Bayu-Rantau Panjang telah ditutup untuk kenderaan.
“Laluan mula ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan bermula di Kampung Kajang sepanjang 1000 meter.
“Paras air di atas jalan raya menunjukkan peningkatan susulan daripada hujan berterusan tiga hari lalu,” katanya dalam ciapan hari ini.
Sementara itu, di kawasan yang sama di Rantau Panjang, sekolah turut dinaiki air susulan hujan lebat yang berterusan pada malam tadi.
Bagaimanapun polis berkata banjir di Pasir Mas terutama di Rantau Panjang masih berada dalam keadaan terkawal meskipun paras air Sungai Golok telah melepasi bahaya sejak malam tadi.
Manakala di Terengganu, Bernama melaporkan Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan di Bandar Kuala Berang, Hulu Terengganu juga turut ditenggelami air lebih tiga meter.
Beberapa muat naik yang dikongsi oleh pengguna Facebook menunjukkan keadaan di beberapa kawasan di Hulu Terengganu semakin memburuk akibat hujan yang berterusan.
Orang ramai dinasihatkan untuk berada di tempat yang selamat selain tidak mencuba untuk meredah banjir di kawasan yang bahaya.
BACA JUGA: Ini Satu Lagi Kenderaan Paling ‘Berkuasa’ Di Sabah, Trak Pikap Pun Kalah
Sumber: Rantau Panjang Post/Facebook