Negara Asia Dominasi Pengeksport Elektronik Utama Dunia 2000-2021
Perdagangan elektronik memainkan peranan yang penting dalam ekonomi dunia. Dari komputer peribadi hingga ke cip memori, ia menjadi salah satu industri utama yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.
Bercakap mengenainya, eksport elektronik global dilaporkan telah mencecah $4.1 trilion (RM18.93 trilion) pada tahun 2021.
Menerusi statistik yang dikeluarkan oleh McKinsey Global Institute, dapat dilihat bahawa perdagangan elektronik global lebih tertumpu di Asia, khususnya di China dan Taiwan dalam tempoh tersebut.
Hal ini kerana, data memperlihatkan terdapat perbezaan yang besar pada peratusan nilai eksport pada tahun 2000 dan 2021.
Jika pada tahun 2000, China berada di tangga ketiga dengan nilai eksport sebanyak sembilan peratus, pada 2021 negara terbabit melonjak ke tangga pertama dengan 34 peratus. Ia bersamaan dengan $1.4 trilion (RM6.46 trilion).
Dalam pada itu, Taiwan juga tidak kurang hebatnya terutama dalam pembuatan semikonduktor. Pada 2021, 11 peratus daripada barangan elektronik dunia datang dari negara tersebut. Ia meningkat berbanding pada tahun 2000 dengan hanya enam peratus.
Ia disusuli Korea Selatan yang merekodkan peratusan eksport barangan elektronik global sebanyak tujuh peratus.
Sementara itu, Malaysia turut tersenarai dalam 10 negara utama yang mengeksport barangan elektronik, tetapi kekal berada di tangga kelima dengan mencatatkan sebanyak lima peratus pada tahun 2000 dan 2021.
Lebih menarik, perdagangan elektronik di Vietnam juga semakin berkembang apabila negara itu mencatatkan nilai sebanyak lima peratus pada tahun 2021.
Walau bagaimanapun, tidak semua negara Asia berkembang dalam mengeksport barangan elektronik. Pada 2000, negara Jepun merupakan kuasa besar Asia dengan nilai eksport barangan elektronik global sebanyak 13 peratus.
Tetapi negara matahari terbit itu mengalami kejatuhan apabila hanya mencatatkan empat peratus pada 2021.
Perkara yang sama turut dialami oleh dua negara barat, Amerika Syarikat (AS) dan Jerman yang menyaksikan hanya empat peratus barangan elektronik telah dieksport pada 2021.
Pada tahun 2000, AS mencatatkan peratusan eksport barangan elektronik sebanyak 16 peratus, ini bermakna berlaku penyusutan sebanyak 12 peratus dalam tempoh 21 tahun di negara itu.
Di kedudukan ke-9 dan ke-10 adalah Mexico dan Thailand, masing-masing berkongsi tiga peratus bagi eksport barangan elektronik global.
Berikut adalah 10 pengeksport elektronik terbesar di dunia;

BACA: Banjir: 18,735 Mangsa Dipindahkan Ke PPS Di Empat Negeri

Peralihan yang menyaksikan negara-negara Asia terutama China mendominasi perdagangan ini berlaku disebabkan oleh beberapa faktor.
Menurut Visual Capitalist, berbanding membuat pengeluaran barangan elektronik secara domestik, AS dikatakan lebih memilih untuk menggunakan khidmat negara luar yang mempunyai kos pengilangan, pengeluaran dan buruh lebih rendah.
Bagaimanapun, AS baru-baru ini memfokuskan kepada penyusunan semula pengeluaran semikonduktor secara khusus memandangkan peranannya dalam keselamatan negara. Ia dapat dilihat menerusi Akta CHIPS $52.7 bilion.
Pada 2023, data ini mungkin sudah berubah sesuai dengan tindakan negara masing-masing untuk mengembangkan perdagangan elektronik mereka. Namun selama lebih dua dekad itu (2000-2021), ia memperlihatkan perubahan ketara yang menjadi titik tolak kepada dominasi Asia terutama negara China.
BACA JUGA: Ratusan Nyawa Penyokong Terkorban, Ini 7 Tragedi Terburuk Pernah Berlaku Dalam Sejarah Bola Sepak Dunia
Sumber: RankingRoyals, Visual Capitalist