Siakap Keli
enam elaun SIP

Hilang Kerja? Anda Mungkin Layak Mohon SIP, Ada Enam Elaun

Hilang Kerja? Anda Mungkin Layak Mohon SIP, Ada Enam Elaun

Rakyat Malaysia, khususnya golongan dewasa secara lazimnya akan keluar dari rumah hampir setiap hari untuk bekerja demi sesuap nasi.

Pendapatan yang diperolehi bukan sahaja untuk mengisi perut diri sendiri dan tanggungan, malah digunakan untuk membayar segala komitmen yang ada.

Namun begitu, langit yang kelihatan cerah pada hari ini tidak semestinya akan kelihatan sama pada keesokan harinya.

Begitu juga dengan nasib kita sebagai seorang pekerja, banyak dugaan dan risiko menanti, lebih-lebih lagi jika bekerja di sektor swasta.

Seseorang individu boleh diberhentikan secara tiba-tiba disebabkan faktor-faktor luaran seperti syarikat muflis, bencana alam dan sebagainya.

Sebagai contoh, lebih dari 100,000 orang dilaporkan hilang pekerjaan sewaktu wabak pandemik melanda Malaysia bermula dari Mac 2020 hingga Ogos 2021.

Pemberhentian secara tiba-tiba ini sudah semestinya memberi kesan yang signifikan terhadap pekerja. Kesannya bertambah parah jika mereka memiliki tanggungan yang ramai dan komitmen yang banyak.

SIP beri bantuan pekerjaan semula untuk ringankan beban pekerja yang dipecat secara tiba-tiba

Bagi memastikan impak ini dapat dikurangkan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah menawarkan satu inisiatif Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) terhadap pekerja yang terkesan.

Menurut PERKESO, SIP diperkenalkan pada 1 Januari 2018 dan bertujuan menyediakan penggantian pendapatan kepada Orang Berinsurans (OB) yang kehilangan pekerjaan.

Difahamkan, OB yang membuat permohonan SIP bakal menerima bantuan pekerjaan semula dari Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan (ESO).

Sebagai sebahagian daripada usaha mencari pekerjaan, individu tersebut turut dikehendaki untuk berdaftar dengan MyFutureJobs. Melalui portal itu, mereka akan dipadankan dengan kekosongan jawatan yang bersesuaian.

Selain itu, pemohon juga boleh memilih untuk menghadiri latihan kemahiran semasa menganggur atau selepas diambil bekerja semula dengan majikan baru.

Untuk makluman, latihan kemahiran ini merupakan sebahagian sebahagian daripada program pasaran buruh aktif SIP.

Antara jenis kehilangan kerja yang melayakkan OB untuk memohon SIP adalah:

1. Pemberhentian kerja biasa
2. VSS/MSS (skim pemisahan sukarela/persefahaman bersama)
3. Penutupan tempat kerja kerana bencana alam (force majeure)
4, Bankrap atau penutupan perniagaan
5. Pembuangan kerja secara konstruktif
6. Perletakan jawatan disebabkan gangguan seksual atau ugutan di tempat kerja
7. Perletakan jawatan apabila diarah melaksanakan kerja di luar skop yang membahayakan keselamatan

Sungguhpun begitu, individu tidak layak memohon SIP jika berhenti kerja secara sukarela, bersara wajib, dipecat sebab salah laku ataupun tamat kontrak.

Feadah enam elaun jika mohon SIP

Antara faedah yang boleh diperolehi menerusi SIP adalah seperti Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB), Elaun Bekerja Semula Awal (EPSA), Fi Latihan, Elaun Latihan dan Elaun Orang Tanggungan (EOT).

Bagi melihat setiap faedah yang ditawarkan ini dengan lebih mendalam, anda boleh melayari laman web rasmi PERKESO untuk maklumat lanjut.

Untuk memohon SIP, anda boleh memohon secara dalam talian atau secara manual di pejabat PERKESO yang berhampiran dengan lokaliti anda.

Selain itu, pemohon turut diminta untuk kemukakan beberapa salinan dokumen permohonan seperti yang berikut:

1. Kad Pengenalan Pendaftaran Negara (KPPN)

2. Bukti kehilangan pekerjaan (contoh surat penamatan, surat VSS / MSS)

3. Maklumat akaun bank

4. Penyata gaji untuk 6 bulan sebelum tarikh kehilangan pekerjaan

5. Surat tawaran kerja (jika berkenaan)

BACA: Lama Perhati, Kenapa Tayar Kenderaan Ada ‘Rambut’? Ini Puncanya

Sumber: PERKESO

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma