Siakap Keli
rambut tayar kenderaan
Kredit: Toyo Tires

Lama Perhati, Kenapa Tayar Kenderaan Ada ‘Rambut’? Ini Puncanya

Lama Perhati, Kenapa Tayar Kenderaan Ada ‘Rambut’? Ini Puncanya

Jika diperhatikan tayar pada mana-mana kenderaan, seperti pada motosikal, kereta atau lori, anda tentu akan perasan dengan satu perkara.

Tayar-tayar kenderaan ini yang biasanya dihasilkan daripada getah pasti memiliki rambut-rambut pada permukaannya, selain bunga tayar itu sendiri.

Umumnya, kita semua sudah sedia maklum dengan fungsi bunga tayar. Selain faktor cekaman dengan permukaan jalan, bunga tayar juga memberi daya geseran supaya tayar tidak menjadi licin.

Namun begitu, kita jarang mendengar atau mencari jawapan di sebalik misteri kewujudan ‘rambut’ pada tayar kenderaan masing-masing.

Malah, mungkin juga ada yang salah sangka bahawa rambut-rambut itu juga sebahagian daripada bunga tayar.

Adakah kewujudan ‘rambut’ ini hanyalah bersifat estetik, ataupun memiliki fungsi yang yang tersendiri?

Sebelum mengetahui fungsinya, mari kita berkenalan dengan nama bahagian rambut ini.

Menurut Toyo Tires, bahagian ini ada banyak nama namun secara umumnya dikenali sebagai vent spews ataupun misai tayar.

Misai atau rambut tayar ini sebenarnya memainkan peranan penting sewaktu proses penghasilan tayar.

Pada awalnya, tayar dihasilkan mengikut bentuk tetapi tidak memiliki sebarang tanda, maklumat atau corak bunga sebelum diletakkan ke dalam acuan tayar.

Ketika tayar kosong dimasukkan ke dalam acuan tayar, haba dan tekanan akan memberi bentuk baharu kepada tayar berkenaan.

Getah pada tayar akan mengembang dan memenuhi ruangan acuan, serta menghasilkan corak bunga tayar yang ada pada acuan.

Semasa proses tersebut, terdapat risiko gelembung udara akan terbentuk antara getah dan acuan. Gelembung udara berkenaan akan menghalang acuan daripada menghasilkan bentuk tayar yang tepat.

Jadi, pada acuan tersebut terdapat tiub-tiub kecil yang bertujuan untuk menyingkirkan udara supaya tidak terperangkap dalam proses membentuk tayar.

Justeru, semasa tayar dibentuk, lebihan getah memasuki tiub-tiub berkenaan semasa proses penyingkiran udara dan mengeras. Hasilnya, terbentuklah rambut tayar itu tadi.

Rambut-rambut tayar ini juga boleh digunakan sebagai bantuan visual semasa pemeriksaan kualiti tayar dibuat.

Jika terdapat pembentukan rambut tayar, ia menandakan sistem ventilasi pada acuan berjalan dengan baik dan tidak tersumbat.

 

Menurut Pengurus Teknikal Toyo Tyres, Steve Burke, rambut tayar itu sangat penting ketika proses penghasilan tayar.

Namun apabila tayar sudah siap, ia tidak lagi memiliki sebarang kepentingan yang signifikan kepada pengguna.

“Ramai pemilik kereta, khususnya kereta yang dibawa ke acara pertunjukkan akan membuang rambut pada tayar.

“Namun, tiada sebab praktikal dan keperluan pun untuk anda buang rambut tayar ini. Cumanya, jika hendak dibuang, elak guna pisau atau gunting.

“Cukup dengan menggunakan tangan sahaja. Cabut satu persatu, itu sahaja,” katanya.

BACA: Menarik, Lelaki Buta Sejak Lahir Kongsi Gambaran Warna Yang Difahaminya

Sumber: Toyo Tires

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma