Datuk Sani Kongsi Nasihat Berharga Tentang Bisnes
Pengarah Urusan Sani Express Berhad, Datuk Wan Mohammad Sani bin Wan Salleh baru-baru ini berkongsi kisah hidupnya yang berliku sebelum bergelar jutawan.
Perkongsian itu dibuat ketika beliau menjadi panel program Inspirasi Tokoh Usahawan bersempena Sambutan 30 Tahun Dewan Perdagangan Islam Malaysia.
Program berkenaan diadakan di Dewan Perdana Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 14 November lalu.
Melihat kepada kejayaan yang dicatatkan oleh Sani Express Berhad, ramai menyangka kehidupan beliau bermula dengan lancar.
Kata Datuk Sani, beliau bermula daripada bawah dengan berniaga kecil-kecilan dahulu sebelum berjaya seperti hari ini.
“Berniaga ini tidak semestinya menggunakan modal yang besar. Saya nak duduk KL tak mampu sebab sewa sangat mahal dan ketika itu, saya tengah susah,” kata beliau dalam perkongsian itu.
Oleh sebab itu, beliau kemudian memilih untuk kembali ke kampung halaman dan memulakan perniagaannya di sana.
Nasihat Datuk Sani tentang bisnes
“Masa ketika itu, saya nak buka bengkel dekat lot kedai pun tak mampu sebab bayaran sewanya kira-kira RM1500,” katanya lagi.
Mujurlah, salah seorang rakannya telah menawarkan tapak untuk beliau memulakan perniagaan dengan bayaran sewa serendah RM300.
Sungguhpun Wan Mohamad Sani berjaya mendapatkan tapak dengan sewa yang murah, perniagaannya tidak begitu memberangsangkan di peringkat awal.
“Memang susah untuk dapatkan pelanggan sebab kita tak boleh jangka untuk terus untung sewaktu awal perniagaan.
“Bisnes bukan pasal saya nak senang. Ketika saya mahu pulang ke kampung, saya sekadar mahu teruskan kehidupan sebenarnya,” katanya.
Perniagaan yang diusahakan ketika itu dapatlah menampung bayaran komitmen seperti kereta dan membuat simpanan kecil.
Sehinggalah dua tahun kemudian, barulah kehidupannya menjadi lebih stabil.
Selepas dua tahun, Datuk Sani berhijrah semula ke KL selepas memiliki pendapatan yang stabil dan modal sebanyak RM100,000.
Di KL, beliau memulakan perancangan untuk membuka sebuah ibu pejabat, namun tetap berdepan dengan kesukaran.
“Saya bermula daripada bawah, saya bukan bermula terus dengan modal berjuta-juta ringgit kerana saya tak percaya benda itu,” tegas beliau.
Sesi perkongsian tersebut turut disertai beberapa usahawan terkenal tanah air seperti Datuk Wira Ameer Mydin (Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd), Puan Sabrina (pengasas Mamasab) dan dikelolakan moderator, DJ Halim Othman.
Untuk mendalami kisah perjalanan Datuk Wan Mohamad Sani dalam menubuhkan syarikat bas dua tingkat pertama yang berfokuskan pada kawasan pantai timur, anda boleh menonton video di bawah.
BACA: Banyak Ujian, Rupanya Ini Proses Ujian Keselamatan & Prestasi Kereta Ramai Tak Tahu
Sumber: Sani Express via Facebook