Siakap Keli
ejen hartanah disamun
Gambar via Sinar Harian

Ejen Hartanah Disamun Lepas Keluar Duit

Ejen Hartanah Disamun Lepas Keluar Duit

Seorang ejen hartanah cedera disamun dua individu sejurus selepas mengeluarkan sejumlah duit dari mesin tunai automatik (ATM) dalam kejadian di Jalan Persiaran Pegaga, Klang pada Sabtu, lapor Sinar Harian.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintenden Kamalariffin Aman Shah, kejadian itu berlaku kira-kira pada jam 2:50 petang sewaktu mangsa memberhentikan kenderaan miliknya.

“Siasatan mendapati mangsa merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 40 tahun. Mangsa telah mengeluarkan sejumlah wang di mesin ATM di sebuah bank di Jalan Meru, Klang kira-kira jam 2 petang.

“Mangsa kemudian memandu sebuah kereta Mercedes berwarna hitam dan menghala ke kawasan Bukit Tinggi untuk berjumpa dengan rakannya,” katanya, memetik Sinar Harian.

Beliau turut menyatakan bahawa mangsa telah didatangi oleh dua orang lelaki yang tidak dikenali ketika sedang memberhentikan kenderaannya di lokasi kejadian.

“Kedua-dua suspek bertindak memecahkan cermin pintu sebelah pemandu dan penumpang hadapan.

“Siasatan juga mendapati salah seorang suspek telah menggunakan kayu besbol untuk memecahkan cermin pintu penumpang hadapan manakala seorang lagi telah menggunakan sebilah parang untuk memecahkan cermin pemandu,” katanya.

Menurutnya lagi, kedua-dua suspek kemudian telah melarikan diri bersama komputer riba milik mangsa menggunakan sebuah kereta Toyota Yaris berwarna silver.

Katanya juga, “Pergelutan antara mangsa dan suspek telah mengakibatkan mangsa patah tulang jari tangan kiri dan luka di sebelah lengan kanan.

“Mangsa mengalami kerugian sebanyak RM6,000 yang melibatkan komputer riba mangsa serta kerosakan yang dialami keretanya,” jelasnya.

Beliau menambah, kejadian itu telah disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

“Polis mengambil serius kes ini dan menggerakkan semua elemen agar suspek diberkas dengan segera.

“Polis berharap agar orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk segera tampil di mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

BACA JUGA: Lelaki Terlibat Samun, Ada 16 Rekod Jenayah Maut Berbalas Tembakan Dengan Polis

Nurul Alya

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.